Imigresen Kedah "Sapu" 9 PATI Di 2 Premis Makanan Di Bakar Arang

Penguat kuasa imigresen menyoal siasat warga asing di sebuah premis peniagaan di Sungai Petani.
SUNGAI PETANI -  Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen Negeri dalam Ops Sapu di dua premis makanan di kawasan Bakar Arang di sini, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohamad Yusri Hashim, operasi yang bermula pada jam 4.20 petang itu diketuai Penolong Pengarah Imigresen bersama 22 pegawai imigresen membuat pemeriksaan ke atas 11 warga asing pelbagai warganegara di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pihaknya menahan sembilan Pati yang terdiri daripada lima lelaki warga Myanmar, tiga lelaki warga Bangladesh berumur antara 15 hingga 44 tahun dan seorang wanita warga tempatan berusia 31 tahun,” katanya.

Mohamad Yusri berkata, hasil pemeriksaan di lokasi pertama di kedai makan, pihaknya menahan lima Pati terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga tempatan.

“Manakala di lokasi berikutnya, pihaknya menahan tiga Pati terdiri daripada tiga lelaki warga Myanmar.

“Siasatan awal mendapati lima lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.

"Sementara itu, wanita warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 56 (1)(d) akta yang sama kerana melindungi warga asing serta dua lelaki warga Bangladesh akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan,” katanya.

Katanya, kesemua ditahan dilokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Sumber: Sinar Harian