Indonesia Terpaksa Tukar Maskot Sukan Asia 2018 Lepas Dikritik "Buruk"?


JAKARTA – Pereka animasi terkenal Indonesia, Andi Martin mengkritik maskot Sukan Asia 2018 yang dicipta oleh Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) kerana tiada memiliki nilai komersial malah terlalu buruk.

Beliau yang mengusahakan firma Main Studio dan pencetus karakter animasi adiwira popular Si Hebring itu  menganggap nilai ada peranan sangat penting untuk maskot, terutama dari segi pelesenan jenama perniagaan.

“Ini penting untuk identiti logo khasnya melibatkan acara sukan kelas internasional, apatah lagi aspek licensing dan merchandise juga,” jelas Andi ketika dihubungi akhbar berpengaruh Indonesia Kompas pada 1 Januari.

“Kalau dari segi jenama perdagangan tiada nilai komersilnya, maka tiada mahu beli juga kan?” soal Andi yang pernah menghasilkan watak Si Hebring pada 2007 dan memenangi pelbagai anugerah peringkat antarabangsa.

Beliau mengaku kecewa dengan maskot ciptaan pihak Kemenpora kerana di Indonesia banyak bakat pereka muda tempatan dalam bidang seni kreatif yang mampu membuat reka bentuk lebih baik dan diakui di seluruh dunia.

“Kita lihat, bentuk tangannya nggak beraturan, mahu jari atau sayap nggak jelas, banyak segi boleh dipersoalkan, padahal kita ada ramai pereka bagus,” kata Andi lagi yang sering dirujuk sebagai pakar seni kreatif di negara itu.

Maskot Sukan Asia 2018 diadaptasi daripada burung cenderawasih dan diberi nama Drawa itu diperkenalkan oleh pihak Kemenpora pada 27 Disember lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak di Indonesia.


Bahkan ramai melihat maskot itu dibuat ‘asal jadi’ sahaja demi memenuhi tempoh waktu singkat yang ditetapkan sehingga menyebabkan Kemenpora pada 31 Disember memberi maklum balas terhadap respons negatif tersebut.

Susulan isu itu, Kemenpora dijangka mengarahkan Badan Ekonomi Kreatif Indonesia (Bekraf) untuk mengubah suai semula maskot temasya sukan terbesar benua Asia tersebut dengan mengekalkan imej unggas cenderawasih.

Kemenpora, Bekraf dan Komite Olahraga Indonesia bakal mengundang sejumlah kalangan profesional dalam bidang ekonomi kreatif untuk turut menyumbang idea sesuai maskot berkenaan pada minggu pertama Januari.


Pihak terlibat bagaimanapun menegaskan, proses ubah suai maskot itu bukan secara bentuk pertandingan terbuka kepada awam, tetapi akan dihasilkan pihak tertentu yang dianggap memiliki kredibiliti dalam bidang seni reka.

Sukan Asia 2018 yang merupakan edisi ke-18 akan berlangsung julung kali di dua bandar raya iaitu Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos sehingga 2 September dengan melibatkan 37 acara. – Agensi