Inilah Jadi Bila Ramai Sangat Nak Jadi Wartawan Tak Bertauliah...

Kes didakwa polis memukul pelajar sebuah institusi pendidikan di daerah ini yang viral di laman sosial, pagi kelmarin.
KUALA KRAI - Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menyiarkan maklumat diterima ke laman sosial bagi mengelak fakta tidak sahih tersebar.

Berhubung viral di laman sosial, seorang pegawai polis didakwa memukul seorang pelajar sebuah institusi pendidikan, pagi kelmarin,  Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, orang awam sepatutnya memastikan kesahihan fakta diterima bagi mengelak kesan negatif kepada pihak terlibat.

Menurutnya, kes tersebut sebenarnya telah selesai tetapi yang menjadi masalah apabila ramai yang terus berkongsi maklumat berkenaan hingga tersebar lebih meluas.


“Kes itu memang berlaku tetapi faktanya diputar belitkan oleh penulisnya.

“Polis telah siasat kedua-dua  belah pihak, mereka yang terlibat tidak mempunyai apa-apa masalah lagi,” katanya sambil memberitahu, kes tersebut berlaku di lampu isyarat Guchil.

"Pelajar dan pegawai terlibat dikatakan sama-sama berhenti di lampu isyarat Guchil. Pegawai berkenaan mendapati motosikal ditunggang pelajar terbabit dalam keadaan mencurigakan... tiada nombor plat dipamerkan di bahagian hadapan.

“Pegawai terbabit yang ketika itu beruniform, meminta remaja tersebut berhenti tetapi dia melarikan diri menyebabkan pegawai berkenaan terus curiga,” katanya.

Tambahnya, semasa melarikan diri remaja terbabit terbabas ke kiri jalan dan terjatuh.

“Pegawai berkenaan ingin memeriksa dan menangkapnya, tetapi berlaku sedikit pergelutan. Kejadian berlaku di tepi jalan, ramai yang melihatnya. Apabila ramai nak jadi 'wartawan', mereka menulis tanpa asas yang betul,” katanya.

Tambah beliau, kes ini boleh dijadikan pengajaran kepada orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan kemudahan laman sosial untuk perkara bermanfaat.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan grup media sosial di daerah ini yang sentiasa menyiarkan berita tanpa memastikan kesahihan.

Maklumat disebarkan oleh seorang individu semalam dikongsi lebih 400 pengguna laman sosial.

Sumber: Sinar Harian