Inilah "Van Jeruk Volkswagen Kombi" Terpanjang Di Dunia

TIGA peminat wajah baru van Type 2 mengambil peluang bergambar bersama kenderaan itu.
Imaginasi luar batasan yang mahukan kelainan mendorong seorang mekanik dari Indonesia menghasilkan van ‘hippie’ Volkswagen Kombi yang didakwanya terpanjang di dunia.

Kereta ikonik itu yang pertama dihasilkan di Jerman pada 1950-an akhirnya menamatkan perjalanan penuh epik pada 2013 apabila tidak lagi dihasilkan.

Bagaimanapun, Wahyu Pamungkas dari Semarang, Indonesia, berjaya mencari medium memberi nafas baru kepada ‘hippie wagon’ itu.

Bagi merealisasikan kreativitinya, Wahyu bersama 30 pekerja menghabiskan setahun untuk memberi nafas baru kepada van itu termasuk `memanjangkannya’ kepada 7.6 meter -tiga meter lebih panjang dari kereta Smart yang cuma 2.6 meter.

Mengakui apa yang dilakukan bukan murah, peminat fanatik VW itu membelanjakan lebih 400 juta rupiah (RM126,847) untuk membina van itu.


Katanya, kereta itu dibina dengan memotong dua Kombi biasa dan menyambung kedua bahagian van itu semula, termasuk mengubah casis.

Dia juga menukar enjin lama yang berkuasa 1,500cc kepada 2,000 cc supaya dapat menampung saiz dan berat baru van itu.

Ini bukan pertama kali Wahyu malah pernah membina Kombi sepanjang 6.9 meter pada 2009 sebelum menjualnya kepada seorang warga Australia dengan harga £11,200 (RM71,041) .

Van Type 2 - yang sinonim dengan cara hidup golongan hippie yang gemarkan mengembara dan bebas akhirnya menamatkan pengeluarannya selepas 63 tahun.

Pada 2013, Brazil satu-satunya negara yang masih mengeluarkan Kombi namun undang-undang alam sekitar membuatkan ‘perjalanannya’ di negara itu turut tamat.

Sebagai tanda perpisahan, Volkswagen menawarkan Kombi versi terhad kepada pembeli dan pengumpul van itu.

Hanya 1,200 model edisi terhad dihasilkan pengeluar di Jerman dengan harga sekitar £26,000 (RM164,899).

Selama enam dekad, lebih 10 juta van Kombi dihasilkan di serata dunia dengan pengeluaran di United Kingdom berakhir pada 1967.

Van istimewa digelar Type 2 kerana ia jenis kedua yang dikeluarkan pembuat kereta Volkswagen dengan yang pertama adalah Beetle.


Sumber: myMetro