Iran Dakwa Arab Saudi Ancam Keselamatan Serantau, Global

PENDUDUK Syiah Bahrain membakar tayar ketika bertempur dengan polis di Kampung Sitra, selatan Manama, semalam berikutan tunjuk perasaan membantah tindakan Saudi memancung ulama Syiah Nimr al Nimr minggu lalu.
TEHRAN  - Menteri Luar Iran semalam mengadu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai ‘provokasi’ Arab Saudi terhadap Teheran ketika krisis diplomatik antara dua kuasa penting serantau itu masuk minggu kedua.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon yang disiarkan agensi berita Iran semalam, Mohamad Javad Zarif berkata, ‘beberapa pihak’ di Riyadh dilihat mahu mengheretkan seluruh rantau itu ke dalam krisis.

Kedua-dua negara pengeksport utama minyak terlibat dalam sengketa diplomatik sejak Arab Saudi memancung ulama Syiah Nimr al-Nimir 2 Januari lalu.

Penunjuk perasaan Iran kemudian menyerang kedutaan Saudi di Teheran, menyebabkan Riyadh memutuskan hubungan.

Javad berkata, Iran tidak ingin memburukkan lagi ketegangan tetapi pada masa sama, tidak menawarkan tolak ansur kerana berpendapat krisis yang berlaku berpunca daripada Saudi.

Javad, dalam surat itu berkata, Arab Saudi terbabit dalam beberapa provokasi secara langsung ke atas Iran, termasuk pembunuhan Nimr dan layanan buruk berterusan ke atas jemaah haji dan umrah Iran.

Javad juga menggambarkan Arab Saudi sebagai ancaman kepada keselamatan rantau dan global.

Salinan surat berkenaan dihantar kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan menteri luar beberapa negara.

“Kebanyakan anggota al-Qaeda, Taliban, Negara Islam dan Barisan al-Nusra rakyat Saudi yang sudah dipengaruhi pemimpin politik negara itu,” kata Javad, tuduhan yang sebelum ini tidak pernah dibuat oleh Iran.

Arab Saudi menentang kumpulan pelampau dan memancung atau menembak mati puluhan anggota al-Qaeda bersama-sama Nimr minggu lalu. -Agensi