Gambar Hiasan |
PAPARAN akhbar mengenai pelajar universiti yang pengsan kerana tiada wang untuk membeli nasi cukup menghibakan.
Menitis air mata memikirkan bagaimana di saat pelbagai instrumen pembiayaan pelajaran disediakan sama ada oleh Kerajaan Pusat, kerajaan negeri bahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih ada pelajar yang terpaksa menahan lapar berhari-hari kerana kesempitan hidup yang dialami oleh keluarganya.
Tak cukup dengan itu dana zakat, wakaf, endownment dan sedekah yang diusahakan oleh universiti juga seolah-olah tidak mampu untuk menangani masalah ini.
Sebenarnya isu pembiayaan pelajaran ini bukanlah isu baharu yang disensasikan oleh media. Sedar ataupun tidak sebelum ini pernah dilaporkan ibu bapa dan pelajar Malaysia di luar negara seolah-olah menjerit meminta simpati bagi menampung kos pengajian mereka. Malah ada juga yang terpaksa pulang ke tanah air tanpa segulung ijazah kerana ketiadaan biasiswa.
Terdapat juga kajian oleh Christina Andin dan penyelidik lain mendapati separuh daripada 118 responden di Kolej 17 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghadapi masalah kewangan seperti tidak mampu membeli buku rujukan, amat memerlukan pekerjaan semasa cuti panjang dan masalah menjelaskan yuran persatuan.
Ini ditambah dengan kos pendidikan yang semakin meningkat dan kemelut ekonomi semasa sehingga pihak kerajaan terpaksa pula mengurangkan bajet Kementerian Pengajian Tinggi dalam pembentangan Bajet 2016 yang lalu.
Justeru masyarakat yang prihatin diseru membantu merealisasikan cita-cita anak bangsa dengan menghulurkan bantuan kewangan yang diperlukan. Masyarakat perlu membantu menginfakkan harta melalui skim wakaf ilmu yang sudah diperkenalkan di dua buah universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Objektif pelaksanaannya untuk menerima aset, sumbangan wang tunai, saham, aset-aset kewangan daripada dalam dan luar negara untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan.
Selain itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UTM, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) turut memperkenalkan skim endownment dan wakaf untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar.
Tidak kiralah sama ada atas nama wakaf ataupun endownment, tanpa sokongan daripada warga universiti dan masyarakat setempat usaha murni ini tidak akan mampu pergi jauh.
Lebih mengelirukan apabila terdapat segelintir yang memandang serong pelaksanaan wakaf ini berbanding cuba memberi pandangan dan komen positif yang membina. Jangan jadi seperti kata pepatah, marahkan nyamuk seekor habis kelambu dibakar.
Tidak dinafikan terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak universiti. Misalnya di sudut perundangan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah Pemegang Tunggal Amanah Wakaf di setiap negeri.
Dengan wujudnya peruntukan ini pelaksanaan wakaf oleh mana-mana pihak tertakluk kepada kebenaran oleh MAIN. Namun begitu di Selangor telah dicadangkan pindaan enakmen yang membenarkan pihak tertentu dan institusi menguruskan sendiri dana wakaf dengan pemantauan oleh pihak MAIN.
Perkembangan positif ini diharap dapat dicontohi oleh negeri-negeri lain dengan mewujudkan peruntukan sama agar seragam dan memberi manfaat kepada semua. Malah pengenalan peruntukan ini tidak sama sekali mengetepikan peranan MAIN selaku sole trustee sebaliknya boleh mewujudkan kerjasama strategik agar aktiviti wakaf oleh mana-mana pihak selari dengan ketetapan syariat.
Selain itu masalah kurang kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan wakaf juga menjadi halangan kepada perkembangan skim wakaf di universiti.
Ramai yang masih melihat wakaf dalam konteks yang sempit seperti tanah perkuburan, masjid dan surau sahaja. Sedangkan jika ditinjau suatu ketika dahulu wakaf pernah digunakan untuk membangun gedung perniagaan, kawasan rehat dan rawat juga kawasan mandi awam.
Malah peranannya, dalam pembangunan pendidikan tinggi tidak dinafikan lagi. Universiti Al-Azhar di Mesir dibangunkan dengan dana wakaf yang manfaatnya kekal berterusan hingga ke hari ini dalam melahirkan ulama, mufti dan para asatizah yang disegani.
Malah dengan jumlah dana wakaf yang banyak Al-Azhar mampu menampung kos pengajian percuma kepada semua pelajarnya dari peringkat rendah hinggalah ke universiti.
Sementara itu, sikap segelintir pelajar yang malu untuk memohon bantuan kewangan juga dilihat punca ada kalangan mereka tercicir menerima bantuan. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Pengarah IIUM Endownment Fund, Shamsul Azhar Mohd. Yusof semasa sesi temu bual yang berlangsung sebelum ini.
Menurut beliau ada pelajar yang seolah-olah menyembunyikan masalah kewangan yang dihadapi oleh mereka walaupun terpaksa makan nasi dengan kuah sahaja.
Dalam hal ini beberapa individu termasuk mufti, pakar bidang wakaf dan ahli akademik bersetuju wakaf dijadikan alternatif pembiayaan pendidikan tinggi negara. Malah dengan ganjaran dan kelebihannya sama ada bagi yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia, wakaf tidak sepatutnya dipandang remeh.
Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya;
“Apabila mati anak Adam terputus segala amalannya kecuali tiga; sedekah jariah, anak yang soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat.” (Hadis riwayat Muslim).
Para ulama bersepakat mengatakan sedekah jariah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah wakaf yang berkekalan zatnya dan berpanjangan manfaatnya.
Malah apabila diteliti ketiga-tiga aspek ini terdapat dalam pelaksanaan wakaf di universiti sehingga pewakaf beroleh ganjaran sedekah yang mengalir pahalanya walaupun setelah mati, didoakan oleh pelajar-pelajar yang soleh selain mendapat ganjaran ilmu bermanfaat turun-temurun.
Perlu juga difahami betapa wakaf adalah harta milik Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada para nazir untuk mengurusnya dengan sempurna. Jika tidak segala penyelewengan dan pengabaian niat pewakaf akan dipertanggungjawabkan ke pundak universiti sebagai pentadbir.
Malah pihak universiti dicadangkan menunjukkan hasil sumbangan wakaf kepada umum bagi meningkatkan motivasi masyarakat untuk menyumbang.
Bersempena dengan Tahun Baharu 2016 ini marilah kita meningkatkan amal kebajikan termasuklah dengan berwakaf sebagai persiapan untuk kembali kepada-Nya. Ambillah peluang dan kesempatan untuk berbakti dengan modal kewangan yang ada sebelum terlambat.
*MOHD. ALI MUHAMAD DON, PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Pasir Gudang, Johor/Utusan.