Islamophobia |
TANGGAPAN Barat yang mengatakan bahawa Islam adalah agama ekstrem dan melampau akibat beberapa insiden yang berlaku di sana telah sedikit-sebanyak mencalarkan nama baik Islam.
Apakah ekstrem itu daripada ajaran Islam atau mereka yang mempromosikan ekstremisme menggunakan nama Islam bagi mencemarkan agama yang suci ini?
Perkataan Islam membawa maksud keamanan dan kesejahteraan. Kerana itu, dalam ajaran Islam kita digalak memberi salam sesama kita kerana ia membawa kepada kesejahteraan.
Menurut Profesor Mohamad Hashim Kamali, Islam menguar-uarkan pendekatan wasatiyyah melalui ayat al-Quran:
“Umat Islam sebagai umat pertengahan” (ummatan wasatan) (al-Baqarah, 2:143).
Secara umumnya, ayat ini sebenarnya menyuruh manusia melakukan kebenaran dan keadilan. Keadilan sebenarnya mempunyai maksud yang begitu rapat dengan wasatiyyah. Wasatiyyah tanpa keadilan seolah-olah membawa konsep yang kosong.
Ajaran Islam yang menjurus kepada jalan pertengahan (wasatiyyah) melihat juga kepada hubungan sesama manusia, iaitu mengenali antara satu sama lain yang dikenali dengan ta’aruf. Kewujudan manusia daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama diiktiraf dalam Islam atas dasar kebebasan beragama.
Adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sekiranya seseorang bukan Islam dipaksa untuk memeluk agama Islam kerana ia menyimpang jauh daripada amalan wasatiyyah.
Manifestasi lain dalam wasatiyyah ialah agama Islam mengiktiraf perbezaan pendapat (ikhtilaf) yang berkait dengan tafsiran dan pandangan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai mazhab terutama empat mazhab utama iaitu Maliki, Syafie, Hanafi dan Hambali dengan perbezaan fiqh dalam mengeluarkan hukum.
Tidak ada satu pandangan yang lebih tinggi daripada yang lain dan tidak semestinya satu-satu pandangan itu wajib diikuti selagi tidak lari dari landasan yang sebenar.
Dalam hal ehwal masyarakat, tadbir urus dan kepemimpinan, Islam menyarankan konsep syura diamalkan. Ini pendekatan wasatiyyah dalam mengambil pandangan orang lain. Sekiranya, amalan syura tidak dipraktikkan, dibimbangi pemerintah akan terlibat salah guna kuasa dan pecah amanah.
Begitu juga dalam perkara menyuruh membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Suruhan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ disebut tujuh kali dalam empat surah al-Quran. Ini ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya supaya melakukan perkara yang baik dan menjauhi perkara jahat.
Suruhan membuat baik dan mencegah kemungkaran bukan sahaja dipopularkan oleh orang Islam bahkan sarjana orientalis seperti Micheal Cook dalam bukunya, Commanding Right and Forbidding Wrong (2010), dan Forbiding Wrong in Islam: An Introduction (2003).
Inilah asas wasatiyyah kerana manusia perlu membuat perkara yang baik dan menjauhi perkara jahat dan buruk. Hakikatnya, manusia tidak boleh hanya membuat kebaikan semata-mata tanpa menjauhi dan mencegah keburukan, kemafsadan dan kemungkaran.
Atas asas inilah ajaran Islam menganjurkan pendekatan wasatiyyah daripada melakukan ibadat sehingga dalam kehidupan seharian. Sebenarnya Allah tidak mahu membebankan manusia tetapi mahu memudahkannya.
Justeru, membuang kepayahan dan meringankan beban rakyat adalah menjadi salah satu tujuan utama maqasid syariah. Justeru, seseorang pemerintah, hakim atau mufti mestilah mengambil pendekatan yang memudahkan umat Islam.
Sebagai contoh, dalam bab ibadat, dikehendaki bacaan surah dalam solat tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang. Bahkan Nabi Muhammad SAW mengajar kita agar bersederhana dalam ibadat solat sunat malam dan puasa sunat.
Nabi Muhammad SAW tidak berpuasa sunat yang berpanjangan meliputi berhari-hari. Malah ada hari baginda berpuasa dan ada hari baginda berbuka. Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan fitrah manusia seperti tidur di malam hari walaupun melakukan qiyamullail. Ada waktu bersama isteri-isterinya dan ada waktu bermunajat kepada Allah di hujung malam.
Begitu juga ajaran Islam mengajar kita supaya tidak boros dan tidak kikir. Apabila makan dan minum tidak membazir. Perspektif perbelanjaan Islam mengajar kita supaya membelanjakan keperluan diri dan keluarga mengikut keutamaan dan bukannya mengikut perasaan lebih-lebih lagi tuntun nafsu yang tiada berkesudahan.
Mengamalkan perbelanjaan mengikut keutamaan maqasid dengan meletakkan keperluan Dharuriyat mengatasi Hajiyat dan Tahsiniyat. Ini kerana, amalan sesetengah pihak yang tidak meletakkan keutamaan dalam perancangan perbelanjaan harian akan menyebabkan ketidakcukupan wang walaupun menikmati gaji bulanan tinggi.
Dalam penerimaan amalan wasatiyyah, Islam mengiktiraf amalan setempat atau uruf. Justeru, dalam perundangan Islam, uruf diterima sebagai satu sumber sekunder. Melihat kepada aspek budaya dan adat setempat, hukum yang mungkin haram di satu tempat tetapi harus pada satu tempat yang lain.
Sebagai contohnya, pemakaian kain sarung batik oleh lelaki di Pantai Timur adalah menjadi kebiasaan tetapi menjadi suatu yang pelik di sebelah Pantai Barat. Begitu juga dengan mengekalkan amalan adat dalam pemberian harta sepencarian sehingga satu pertiga bahagian harta bersama bagi suami/isteri yang bercerai hidup atau mati.
Pendekatan wasatiyyah dalam transaksi kewangan juga dapat dilihat apabila undang-undang Islam meletakkan keadilan sebagai kayu ukur. Justeru pertukaran dalam sesuatu transaksi mestilah tidak melibatkan riba, maysir dan gharar.
Tuntutan supaya harta kekayaan tidak hanya berkisar dalam kalangan orang tertentu menunjukkan bahawa Islam mahu ia dinikmati oleh semua golongan manusia.
Dalam pengurusan harta pusaka pula, diberi kelebihan dua bahagian kepada orang lelaki bukanlah kerana faktor jantina tetapi mengambil pendekatan wasatiyyah yang meletakkan beban dan tanggungjawab ke atas bahu lelaki.
Kerana itu, diberi bahagian yang lebih kepada lelaki kerana mereka memikul tanggung jawab yang besar ke atas emak, kakak atau adik perempuan bukan sekadar kelayakan sahaja. Tetapi realitinya, ramai lelaki mengambil bahagian masing-masing dan tidak mengambil tanggungjawab menjaga mereka.
Wasatiyyah menuntut kehidupan yang sederhana, tidak meninggalkan kekayaan bagi mereka yang berada dan tidak pula dalam keadaan kemiskinan. Tuntutan kepada beberapa ibadat dalam Islam memerlukan penganutnya mempunyai harta seperti pergi menunaikan haji dan berzakat. Begitu juga dalam amalan lain seperti berwakaf dan bersedekah yang memerlukan harta untuk melakukannya.
Pendekatan wasatiyyah dan menjauhkan diri daripada perbuatan ekstrem dan melampau akan membawa kehidupan manusia dalam keadaan aman, harmoni, mudah, menyenangkan dan menghapus kesusahan dan kepayahan. Keganasan dan ekstremisme sama ada oleh individu atau sesebuah negara, sebenarnya menyimpang daripada landasan ajaran Islam.
Justeru amalan wasatiyyah membawa keadilan dan mengenyahkan perbuatan melampau untuk kesejahteraan manusia sejagat. Bahkan ia membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat seperti doa yang sering dibaca selepas solat lima waktu: “Berilah kami kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat.”
*PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS)/Utusan