#Islam: Berdosakah Saya Buang Kucing Di Pasar Ikan?

Gambar Hiasan
Berdosakah saya buang kucing di pasar ikan? Kucing itu datang ke rumah saya dan disebabkan saya sering beri kucing itu makan, jiran beranggapan ia kepunyaan saya.

Oleh sebab kucing itu membuang najis di luar kawasan rumah saya dan jiran, mereka merungut mengatakan kucing saya mengotorkan kawasan rumahnya.

* Pencinta haiwan, Kuala Lumpur.


Jawapan UKE:

Perbuatan anda memberi makan kepada kucing adalah berpahala. Bagus kerana bukan semua orang boleh buat macam itu. Tetapi jika membela kucing itu boleh menimbulkan masalah kepada jiran sehingga mencetuskan perkara yang tidak elok, jadi hukum lain pula.

Anda boleh bela tapi pastikan kucing itu dibela dengan cara yang tidak menyeksanya dan tidak juga mendatangkan masalah kepada jiran.

Anda juga boleh serahkan kepada pihak tertentu yang membuat perkhidmatan menjaga kucing terbiar. Anda boleh hantar ke pasar yang anda yakin bahawa di pasar itu banyak makanan untuk si kucing itu.

Saya pernah melihat seorang lelaki yang memberi makanan kepada kucing di pasar dan dia juga memberi makanan berupa ikan kepada kucing-kucing di sepanjang jalan ke rumahnya tanpa membela kucing di rumahnya.

Dan yang sangat menakjubkan kucing-kucing itu seolah-olah mengetahui pukul berapa dia akan mengagihkan ikan-ikan dengan menunggu di sepanjang jalan dan di pasar. Dan dia tidak bela pun walau seekor kucing di rumahnya.

Sumber: Datuk Ustaz Kazim Elias/Utusan