Islam Dan Bumiputera Tetap Terpelihara Tidak Terjejas


Apabila Malaysia membuat keputusan untuk menyertai rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada tahun 2010, banyak pihak di negara ini yang begitu sinikal de­ngan langkah tersebut.

Sejak saat itu sehingga sekarang pelbagai dakwaan khususnya di media sosial dibuat oleh pihak-pihak tertentu antaranya menggambarkan bahawa Malaysia akan dijajah semula tetapi dalam bentuk yang baharu.

Mereka mendakwa kedudukan Islam akan terjejas, kepentingan Bumiputera terjejas, kepentingan syarikat milik kerajaan (GLC) terjejas dan masa depan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini turut terjejas sekiranya Malaysia menandatangani TPPA.

Dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan kumpulan ini tersebar de­ngan begitu luas walaupun isu-isu yang dikemukakan tidak dilampirkan bersama fakta-fakta meyakinkan sebaliknya hanya bersandarkan kepada persepsi dan andaian.

Menurut buku TPPA: Jawapan kepada Kebimbangan, Salah Faham dan Tuduhan terbitan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) antaranya berhubung penyertaan Malaysia ke dalam TPPA yang dikatakan akan menggugat peraturan-peraturan berlandaskan Islam.

Antara dakwaan tersebut, kerajaan akan disaman oleh pelabur-pelabur asing jika melaksanakan peraturan-peraturan seperti berikut;
- Pengasingan produk halal dan haram

- Larangan kunjungan umat Islam ke premis perniagaan yang menjalankan aktiviti yang haram untuk mereka.

- Cuti umum pada hari Jumaat.

- Peraturan larangan sesetengah bentuk perniagaan pada waktu-waktu dan bulan-bulan tertentu.
Sebenarnya tiada asas kepada kebimbangan itu kerana TPPA tidak akan menghalang Malaysia daripada terus menguatkuasakan syarat-syarat halal ke atas pengimportan produk makanan.

Syarat halal telah diiktiraf sebagai bukan satu bentuk halangan perdagangan dan yang paling pen­ting dipersetujui oleh negara-negara anggota yang lain.

Seperti mana perkara berkaitan halal dikecualikan daripada disiplin TPPA, situasi yang sama juga berlaku terhadap GLC, PKS dan isu berkaitan hak-hak Bumiputera.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin ketika ditanya tentang perkara tersebut berkata, tiada usaha daripada TPPA untuk membatalkan segala perkara yang telah dikuatkuasakan berkaitan dengan agama, budaya serta kepentingan Bumiputera di negara ini.

Beliau berkata, semuanya ada termaktub dalam teks TPPA setebal 6,350 muka surat dan mengandungi 30 bab utama itu.

“Ini bermaksud dasar afirmatif oleh pihak kerajaan bagi mempertahankan hak golongan Bumiputera tidak akan terjejas dan tidak akan disentuh oleh TPPA,’’ katanya lagi.

Beliau berkata, ini juga bermakna agensi-agensi yang ditubuhkan khusus untuk Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Mara tetap terpelihara seperti hari ini.

“Saya sendiri telah membaca teks TPPA yang begitu tebal ini sehelai demi sehelai sehingga habis bagi tujuan pemahaman sekali gus memudahkan saya memberikan mak­lumat kepada semua pihak. Ini­lah sebenarnya yang termaktub dalam teks berkenaan.

“Sebab itu saya berpandangan mereka yang sengaja menimbulkan isu berhubung pelaksanaan TPPA hanya semata-mata bersandarkan kepada fakta retorik dan berniat jahat. Saya percaya mereka tidak membaca teks ini,’’ ujarnya.

Amir Hussin berkata, sebagai seorang ahli akademik beliau perlu memberi penjelasan berasaskan fakta supaya rakyat tahu tentang kebenaran berhubung pelaksanaan TPPA.

“Malaysia bukannya buat pertama kali menandatangani satu perjanjian berkaitan perdagangan bebas. Kita telah banyak menandatangani perjanjian seperti ini antaranya membabitkan blok ASEAN serta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),’’ ujarnya

Dalam pada itu Malaysia telah berjaya merundingkan kelonggaran dan pengecualian dalam beberapa bab melalui pelbagai mekanisme berhubung agenda pembangunan Bu­­miputera dalam usaha menjamin penyertaan golongan itu dalam sektor ekonomi.

Sebagai contoh, dalam sektor perolehan kerajaan, kelonggaran dan pengecualian seperti berikut telah diberikan, antaranya;

- 30 peratus daripada nilai kontrak kerja yang dibuka untuk penyertaan kontraktor dari negara-negara anggota TPPA dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera.

- Mengekalkan keutamaan harga kepada pembekal dan pembuat Bumiputera dalam perolehan bekalan dan perkhidmatan.

- Perolehan bekalan, perkhidmat­an dan perkhidmatan pembinaan di bawah had nilai perolehan yang ditetapkan hanya dihadkan kepada syarikat tempatan.

Dalam sektor pasar raya besar pula, syarat pegangan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus; produk Bumiputera atas rak sebanyak 30 peratus; lantikan pengarah Bumiputera termasuk membabitkan bidang pemasaran dan jualan masih dikekalkan seperti sedia ada.

Yang pasti, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menandata­ngani satu perjanjian yang ­akhirnya boleh merugikan rakyat dan negara.

Sehubungan itu tegas Amir Hussin, jika berlaku kerugian sekalipun selepas perjanjian ditandatangani, Malaysia mempunyai hak untuk menarik diri daripada TPPA de­ngan memberi notis bertulis kepada Pemegang Perjanjian Simpanan di New Zealand dan 11 anggota yang lain.

Penarikan balik itu termaktub dalam bab 30 teks TPPA dan berkuat kuasa enam bulan selepas negara berkenaan mengemukakan notis bertulisnya.

Sumber: Utusan