Soalan: Kawasan saya terdapat dua surau. Sebuah tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh manakala sebuah lagi sebaliknya.
Jemaah surau yang tidak membaca doa qunut menyatakan bahawa solat mereka mengikut sunnah dan jemaah surau jirannya tidak mengikut sunnah. Apa pandangan ustaz?
Jawapan:
Isu doa qunut adalah isu kecil sahaja, namun segelintir umat Islam memperbesarkannya. Doa qunut adalah sunnah Nabi SAW dan meninggalkannya juga adalah sunnah baginda.
Orang yang bertengkar, mengutuk dan bermasam muka sebenarnya tidak mengikut sunnah Nabi SAW.
Ulama silam telah membahaskan secara panjang lebar tentang isu-isu kecil ini, contohnya doa qunut. Hasilnya para ulama dalam mazhab Syafie berpendapat bahawa doa qunut adalah sunat, tetapi pandangan ulama dalam mazhab lain tidak sebegitu.
Mereka berbeza pendapat dalam suasana harmoni. Maka solat sah dengan doa qunut dan tanpanya.
Sikap mengikut sunnah adalah baik dan mulia, namun ia tidaklah sempit sebegitu. Sunnah Nabi adalah rujukan dan ia terdedah kepada tafsiran. Maka sikap berlapang dada dan bertoleransi adalah sifat yang paling baik.
Sumber: Utusan