#Islam: Kekeliruan Teologi G25 Dalam "Breaking The Silence"

BARU-BARU ini sebuah buku telah diterbitkan oleh ‘sekumpulan Melayu menonjol’ yang menggelarkan diri mereka G25. Tidak tahu sebenarnya berapa kerat sokongan masyarakat terhadap kumpulan ini yang melayakkan mereka menggunakan panggilan ‘menonjol’ tersebut.

Buku G25 yang bertajuk Brea­king The Silence itu adalah terbitan pertama kumpulan tersebut yang antara tujuannya untuk membincangkan isu berkaitan fiqh Islam.

Ironinya buku tersebut mempamerkan ‘versi’ Islam yang tidak pernah dilihat dalam disiplin keilmuan Islam. Suatu takwilan atau tafsiran yang dicipta melalui kejahilan dan tanpa mengambil kira tatabahasa Arab dan tafsir al-Quran (Quranic Exegesis). Maksud diberikan kepada ayat-ayat al-Quran dalam buku ini menyimpang daripada maksud sebenar.

Hanya bahasa Arab asas digunakan dalam takwilan atau tafsiran ayat-ayat al-Quran di dalam buku G25 ini menyebabkan kebanyakan maksud tidak sampai atau menyimpang daripada makna sebenar. G25 melakukan falasi demi falasi dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran.

Apa yang menarik perhatian penulis adalah komen berikut tentang Islam dan Nabi Muhammad SAW: 

“Oleh itu, kita boleh membuat ke­simpulan bahawa dengan istilah “Islam” (bahawa Quran mendakwa bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diredai oleh Allah), Quran sebenarnya merujuk kepada prinsip sejagat tentang keamanan (Salam seperti yang disebut dalam Quran) dan bukannya dalam erti kata agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang ditujukan dan diasimilasikan (istilah asalnya localised) kepada masyarakat Arab purba dalam konteks zaman dahulu. Semua agama mempunyai sisi yang mementingkan prinsip keamanan dan hal ini yang akan diadili sewajarnya. [1]”

Apa yang ingin diberikan perhatian adalah frasa berikut: “... dan bukannya dalam erti kata agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang ditujukan dan diasimilasikan kepada masyarakat Arab purba dalam konteks zaman terdahulu”.

Mula-mula sekali, hal pertama yang ingin dinafikan adalah tentang mitos yang mengaitkan antara Arab dan Muslim. Kaum Arab hanyalah dalam 19.8% daripada populasi ke­seluruhan umat Islam di dunia. (2)

Jika benar bahawa Islam telah diasimilasikan (atau istilah asal yang digunakan iaitu localised) dalam konteks Arab purba, bilangan orang yang memeluk Islam selama 1400 tahun sepatutnya makin berkurangan dan kebarangkalian berada di ambang kepupusan. Bagaimanapun, kita tahu hal sedemikian tidak berlaku, bahkan Islam adalah agama yang paling berkembang di dunia.[3][4][5][6]

Ini adalah falasi non-sequitur (konklusi tidak berkaitan dengan premis yang dinyatakan) untuk mengandaikan bahawa ajaran Islam disebarkan dengan konteks Arab purba. Dengan jumlah pengikut Islam yang semakin bertambah, hal ini sendiri membuktikan bahawa ajaran Islam tidak terbatas kepada zaman, kandungannya dan kawasan.

Hanya sebab Islam diwahyukan di Arab purba, tidaklah bermakna bahawa Islam hanya sesuai untuk masa dan tempat itu sahaja. Kita tidak menafikan bahawa Nabi SAW memang seorang Arab, tetapi nilai-nilai Arab tidak pernah dikuatkuasakan terhadap sesiapa pun, dahulu mahupun sekarang.

Kita boleh juga mengatakan bahawa kertas hanya sesuai dalam zaman pertengahan Eropah kerana pencetakan kertas dicipta di sana pada kurun ke-15. Adakah kenya­taan tersebut masuk akal? Kita semakin maju tetapi tidak bermakna bahawa sesuatu yang wujud dalam sesuatu tempoh masa hanyalah sesuai untuk masa dan tempat tersebut. 

Oleh itu, pegangan bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi SAW hanya sesuai di padang pasir adalah tidak koheren dengan sendirinya.

Setiap agama atau kepercayaan mempunyai sumber rujukannya, begitu juga dengan Islam, maka kita ingin mengetahui apakah sumber rujukan yang digunakan oleh G25? Kita boleh buktikan bahawa ajaran Islam tidak terbatas kepada golong­an Arab purba sahaja.

Allah berfirman: 
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah Al-Hijr 15:9)
Al-Quran menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW dihantar untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Bagaimanakah seseorang yang dihantar sebagai rahmat kepada sekalian alam, tetapi rahmatnya terkurung di dalam Arab purba kepada sesuatu kaum yang tertentu dan terbatas kepada peredaran zaman dan tempat?

Terdapat pelbagai lagi ayat al-Quran boleh kita rujuk, untuk membuktikan kekeliruan G25 ini ataupun mungkin ketidakjujuran mereka dalam hal ini.

Kita harus renung-renungkan adakah G25 benar-benar mempu­nyai ilmu tentang disiplin Islam dan tafsir al-Quran. Dakwaan mereka sebagai “menonjol” dan “progresif” tidak terlihat dalam tindakan, pengetahuan mahupun kebijaksanaan mereka.

Sesiapa pun yang berselindung di belakang nama Islam, sila kemukakan sumber rujukan Islam yang sahih dan bukannya setakat dakwaan semata-mata.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah Al-Baqarah 2:111)
Marilah kita berdoa agar Tuhan merahmati kita dengan belas kasihan-Nya dan kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh-Nya.

*REHAN AHMAD JAMALUDDIN AHMAD, PENULIS ialah Felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)/Utusan