#Islam: Ketahui Kaedah, Adab Bertunang Mengikut Cara Islam

Gambar Hiasan
Betulkah kalau sebut “Saya nak awak jadi isteri saya,” dan perempuan menjawab “Saya setuju,” pasangan ini menjadi tunang mengikut hukum fikah tetapi belum melalui adat Melayu?

* Hasry, Labuan.


Jawapan UKE:

Mengikut perspektif Islam dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan bersetuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki itu.

Dalam budaya Melayu, pertunangan itu diadakan penuh dengan adat merisik, bercincin, jamuan dan sebagainya dengan tujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa anaknya sudah bertunang.

Bertunang boleh berlaku dengan pelbagai cara seperti panggilan telefon dan kata-kata. Tetapi apabila pertu­nangan melibatkan keluarga, maka itulah yang terbaik. Tujuan begini adalah bagus kerana dapat mengelak daripada berlaku pertindihan peminangan atas pinangan orang lain.

Sebab itu, pertunangan begini dijadikan suatu adat budaya yang diamalkan dalam masyarakat Melayu.

Namun begitu timbul persoalan lain apabila kata-kata seperti “Sudikah awak menjadi isteri saya?” atau “Kita bertunang OK?”. Lalu si perempuan pun bersetuju maka secara tidak langsung mungkin istilah pertunangan telah berlaku. Kerana kejahilan maka terjadilah perkara yang merumitkan.

Sebab itu pertunangan sebaik-baiknya hendaklah melibatkan kedua-dua belah keluarga supaya lebih terjaga hukum-hakam yang berkaitan. Malah bila termeterai pertunangan secara rasmi, ia boleh juga diselesaikan melalui perundangan jika tidak berpuas hati sekiranya ikatan itu diputuskan.

Jika bertunang main senang-senang saja mungkin implikasi lain akan timbul. Saya menyarankan agar si gadis berhati-hati dalam menerima cinta atau menyambut kata-kata cinta. Lebih baik melibatkan keluarga supaya lebih tersusun.

Andai kata cinta putus di tengah jalan, maka putuslah dengan cara baik dan ia tidak menghalang untuk bertunang atau berkahwin dengan orang lain jika cinta disemai terputus di tengah jalan. 

Dengan kata-kata “Kita putus saja” atau “Kita tak ada apa-apa hubungan lagi”, maka bertunang tadi dikira dah putus seperti yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu.


Sumber: Datuk Ustaz Kazim Elias/Utusan