Gambar Hiasan |
Tidak cukup dengan itu, ibunya juga sering mendesak Ahmad Tan supaya kembali kepada agama asal. Apa yang berlaku kepadanya merupakan sebahagian daripada cabaran yang perlu ditanggung oleh mualaf yang baharu memeluk agama Islam.
Hakikatnya, majoriti mualaf yang memilih Islam sebagai pegangan hidup akan berhadapan dengan cemuhan dan pemulauan daripada ahli keluarga sendiri. Cabaran ini bukan sahaja melibatkan golongan mualaf di Malaysia malah pelbagai kisah dan cabaran keislaman mereka dalam mempertahankan akidah Islam telah berlaku sejak 1,400 tahun dahulu.
Contohnya, kisah pengislaman Saad ibn Abi Waqas yang mendapat tentangan hebat daripada ibunya. Tatkala berita Saad memeluk Islam diketahui ibunya, dia didesak untuk murtad. Bahkan pernah ibu Saad tidak makan beberapa hari agar Saad kembali ke asalnya.
Saad sebaliknya enggan tunduk kepada ugutan ibunya dengan berkata, dia tidak akan meninggalkan Islam sekalipun ibu kesayangannya mati beberapa kali. Hal ini mendorong ibunya untuk mengalah dan akhirnya terpaksa makan.
REALITI
Realiti kehidupan yang berlaku kepada mualaf pada hari ini tidak banyak bezanya dengan zaman dahulu. Kebanyakan mereka akan dipandang hina dan dibenci oleh ahli keluarga berikutan meninggalkan agama asalnya.
Jauh sekali bagi golongan ini untuk bermimpi disambut dengan senyuman mesra dan pelukan gembira daripada ahli keluarga tatkala mengetahui tentang keislaman mereka.
Tambahan dalam usaha mempertahankan akidah Islam, mereka juga berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti masalah perbezaan adat dan budaya, perkahwinan, pembahagian harta pusaka serta hak penjagaan anak.
Oleh itu, golongan ini bukan sahaja perlu mempunyai hati dan jiwa yang kental malahan masyarakat serta pihak berkuasa juga memainkan peranan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada golongan istimewa ini.
Pertembungan adat, budaya
PERKARA ini diakui oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Puteh.
Tegas beliau, bukan perkara mudah bagi mualaf untuk menukar adat dan budaya yang menjadi kebiasaan terutama pada peringkat awal penghijrahan kepada Islam.
“Berdasarkan kajian dan penyelidikan terhadap kehidupan saudara baharu, perkara utama melibatkan adat dan budaya menjadi cabaran kepada mereka untuk mengaplikasikan berikutan ia sudah sebati dan berakar umbi dalam diri.
“Golongan ini juga berhadapan dengan mehnah (ujian) dan tribulasi atau kesengsaraan yang menyebabkan tekanan kepada psikologi dan emosi. Oleh itu, sokongan amat diperlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan sebagai Muslim dalam keadaan selesa.
“Namun, jarang saya temui kumpulan saudara baharu yang berada dalam keadaan selesa daripada pada mula mereka menukar agama. Biasanya mereka tidak akan dilayan baik oleh keluarga dan sanak-saudara mereka,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Masalah dan Cabaran Saudara Baharu - Demi Sebuah Akidah.
Program itu bersempena Muzakarah Kebangsaan Isu Mualaf di Malaysia siri pertama yang membawa isu pertembungan adat budaya dalam kalangan Mualaf di Malaysia di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
CABARAN
Tambah Anuar, cabaran utama yang perlu dihadapi oleh saudara baharu apabila memilih Islam sebagai jalan hidup mereka adalah penyingkiran daripada kaum keluarga dan masyarakat asal.
“Secara umum mereka menganggap menukar agama kepada agama Islam adalah perbuatan yang amat dibenci kerana beranggapan Islam hanyalah agama untuk orang Melayu. Ia dianggap satu bentuk pengkhianatan dan penghinaan kepada keturunan dan perjuangan bangsa kerana dianggap memutuskan tali kekeluargaan.
“Lantaran itu ada dalam kalangan mereka yang disingkirkan oleh keluarga dan masyarakat. Walaupun ada yang terus tinggal bersama keluarga, namun mereka seolah-olah disisihkan dari segala aspek.
“Masalah ini bukanlah baharu bahkan telah menjadi satu tradisi yang wujud bersama-sama penerimaan saudara baharu terhadap Islam. Namun, kebelakangan ini, masalah tersebut berkurangan berikutan mungkin kesedaran masyarakat bukan Islam bahawa agama ini tidak membawa kepada permusuhan,” katanya.
Anuar berkata, majoriti mualaf pada awal pengislaman mereka turut berhadapan dengan pandangan negatif dan prejudis daripada masyarakat Melayu.
“Kebanyakan orang Melayu menganggap tujuan utama mereka masuk Islam adalah berdasarkan motif dan kepentingan tertentu. Golongan ini turut menghadapi pandangan masyarakat yang mahu melihat mereka hidup dengan mengamalkan keseluruhan amalan dan budaya Melayu.
“Sekiranya mereka mengikut amalan dan budaya Melayu mereka akan mudah diterima oleh masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Situasi ini telah berakar umbi dalam masyarakat berikutan mereka menganggap bahawa masuk Islam itu adalah masuk Melayu,” katanya.
Ujar Anuar, sebahagian saudara baharu akan menghadapi konflik dalam pekerjaan berikutan bidang tersebut tidak sesuai dengan tuntutan agama.
“Sebahagian mereka berhadapan dengan dilema dalam pekerjaan selepas memeluk Islam seperti bekerja di premis perjudian dan arak. Keadaan ini menyebabkan mereka berada dalam dilema sama ada ingin meneruskan atau mencari pekerjaan baharu.
“Mereka juga mendapat tekanan daripada majikan bukan beragama Islam lantaran mengetahui keislaman mereka sehingga dipecat atau akan berhenti sendiri kerana tidak mampu berhadapan dengan tekanan tersebut,” katanya.
Tambahnya, saudara baharu juga akan kehilangan hak untuk mendapatkan harta pusaka sejurus mereka memeluk agama Islam.
“Mereka tidak berhak mewarisi harta pusaka selepas memeluk Islam. Keadaan ini kadang-kadang boleh menjadi serius sehingga menyebabkan mereka kembali kepada agama asal untuk mendapatkan hak pewarisan tersebut.
“Kerana itu dalam Islam golongan mualaf merupakan antara satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima bantuan zakat.
“Mereka turut berhadapan dengan cabaran undang-undang bagi saudara baharu yang berumur 18 tahun serta berlaku perebutan jenazah selepas kematian. Masalah perebutan jenazah sering berlaku antara anggota keluarga mereka dengan pihak berkuasa agama Islam,” jelasnya.
Katanya, masalah murtad dan unsur-unsur murtad juga wujud dalam kalangan saudara baharu yang boleh dikelaskan kepada dua kategori:
Memang berniat untuk murtad dan memberikan penjelasan lisan atau bertulis mengenai hasrat mereka kepada pihak berkuasa.
Tidak melahirkan hasrat untuk murtad tetapi wujudnya unsur-unsur murtad seperti kembali mengamalkan budaya dan agama asal.
Tambah Anuar, dalam situasi ini belum ada maklumat mengenai kes-kes dan bilangan sebenar saudara baharu yang telah murtad tetapi secara umum beberapa punca yang membawa kepada berlakunya murtad dalam kalangan mereka sudah dikenalpasti,” jelasnya.
Perbaiki kelemahan
Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Rafi Abdul Rahman berkata, walaupun banyak kajian dan laporan dilakukan berkenaan kehidupan dan cabaran bergelar mualaf tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dalam pelbagai aspek untuk membantu golongan ini.
“Pihak terlibat seperti Majlis Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia perlu memainkan peranan mereka untuk merealisasikan hasil kajian yang diperoleh daripada mualaf seperti isu perkahwinan dan sara hidup. Jangan hanya banyak kajian dijalankan tetapi perlaksanaannya berkurang.
“Saya juga mencadangkan supaya maklumat berkenaan adat dan budaya sebagai mualaf dibukukan dan diedarkan secara percuma kepada masjid dan orang ramai. Ilmu ini akan membantu masyarakat lebih faham tentang persamaan dan perbezaan budaya dalam masyarakat di negara kita,” katanya.
Bernasib baik
TEMPOH empat tahun yang dilalui Muhammad Ridhuan Tan Abdullah sebagai mualaf banyak mengajarnya erti kesabaran dan kasih sayang sebenar dalam Islam.
Mempunyai ibu dan ayah yang menganut agama Buddha, beliau mengakui dirinya bertuah kerana keputusan untuk memeluk Islam hanya mendapat tentangan daripada keluarga pada peringkat awal. Kini ahli keluarganya semakin memahami dan menerima ajaran Islam.
“Tidak dinafikan kebanyakan mualaf akan menghadapi cabaran seperti dipulaukan oleh ahli keluarga dan komuniti asal. Tidak cukup dengan itu, sebahagian mereka turut disisihkan daripada komuniti Islam asal.
“Mualaf juga dianggap sebagai golongan kelas kedua dan bermasalah oleh masyarakat sehingga memberi tekanan sekali gus menyebabkan mereka tersepit di tengah-tengah masalah itu tanpa ada penyelesaian.
“Lantaran itu bagi meneruskan kehidupan, mereka terpaksa bergantung harap kepada bantuan zakat dan derma daripada orang ramai. Namun, apabila bantuan tersebut tamat tempoh mereka akan menghadapi masalah kerana tiada tempat untuk dituju,” katanya.
Tambah Muhammad Ridhuan Tan, pada masa ini ramai orang ingin memeluk Islam tetapi jika golongan ini tidak dibimbing dan mendapat ilmu yang betul mereka akan menimbulkan masalah kepada masyarakat.
“ Walaupun banyak seminar dan kelas diadakan tetapi kebanyakan yang hadir adalah dalam kalangan mualaf berpendidikan tinggi, sedangkan majoriti yang memeluk Islam adalah mereka yang berpendapatan rendah.
“Penganjuran seminar dan muzakarah ini merupakan platform terbaik untuk menyampaikan ilmu kepada mualaf, tetapi langkah ini tidak patut berhenti setakat ini sahaja malahan perlu diperluaskan kepada orang luar,” katanya.
Sumber: Utusan