Islam Larang Keras Aksi Ganas Di Ranjang Suami Isteri


KES seorang isteri mengerat kemaluan suaminya baru-baru ini sesuatu yang cukup tragis. Masyarakat bersimpati dengan keadaan yang berlaku, apa tidaknya, kecederaan suami melibatkan anggota paling berharga pada dirinya sebagai seorang lelaki!

Namun, masyarakat harus menilai kes ini secara adil sekalipun perbuatan si isteri itu salah dari segi undang-undang. Mungkin ada cerita sebaliknya dan hal ini tidak boleh dinafikan kerana kes seumpama ini memang berlaku dalam masyarakat. Antaranya kes yang diterima oleh Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang menceritakan begini ....

Malam itu, Haidar tidak keruan. Panggilan telefon yang diterima daripada suaminya sebentar tadi membuatkan hatinya berdebar-debar. “Aku tahu, bila aku balik, kau dah siap!”. Kata-kata itu membimbangkannya. Apa lagi yang hendak dilakukan oleh suaminya ke atasnya malam ini.

Baru dua hari yang lalu, dia terpaksa menahan kesakitan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suaminya. Bahkan kedua-dua tangannya diikat di katil. Dia memperlakukannya umpama haiwan! Tiada langsung rasa simpati apabila Haidar meraung kesakitan.

Lebih menyakitkan, setiap kali Haidar meraih simpati, suaminya semakin mengganas. Lebam-lebam di badannya usah ditanya. Belum hilang kesakitan dua hari lalu, dia terpaksa bersedia dengan kesakitan yang sekian kalinya.

Pernah Haidar terfikir, sampai bila dia harus bertahan. Mahu diceritakan kepada keluarga, dia malu. Baginya, cerita dalam kain bukan cerita untuk dijaja. Tapi apa lagi kudratnya? Haidar sedar, selagi laporan tidak dibuat ke atas perlakuan seks ganas suaminya, selagi itu dia terpaksa menanggung derita.

Haidar sering kemurungan. Dia buntu apa yang perlu dilakukan. Pernah dia mencadangkan suaminya berkahwin lain, tetapi ditolak. Dia juga pernah meminta cerai, tapi permintaannya tidak dilayan. Habis, sampai bila suaminya akan memperlakukan dirinya sedemikian?

Sumber: Utusan