Gambar Hiasan |
Kami adik-beradik sepakat agar rumah pusaka yang sudah uzur dirobohkan dan dibina semula dengan bantuan PPRT.
Tapi abang sulung membantah tanpa alasan, sedangkan dia memiliki rumah sendiri di belakang rumah pusaka tersebut.
Rumah pusaka didiami kakak yang kematian suami tanpa anak, adik lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak, emak tiri serta adik tiri perempuan satu bapa.
Kesemuanya hidup dengan pendapatan kurang dari RM1,200. Bolehkah perancangan kami itu diteruskan tanpa persetujuan daripada abang sulung?
Sedangkan binnya pun beza sedikit walaupun kami satu ayah dan ibu.
* Zaian, Shah Alam.
Jawapan UKE:
Anda kena betulkan sedikit di situ iaitu yang anda kata adik tiri satu bapa itu, bukan adik tiri anda tetapi adalah adik kandung anda satu bapa berlainan ibu. Adik tiri ialah jika adik itu anak ibu tiri anda dengan suaminya yang terdahulu.
Jika adik itu anak bapa anda maka dia dipanggil adik sebapa. Sebaik-baiknya selesaikan terlebih dahulu pembahagian pusaka dan ditentukan siapa berhak atas rumah tersebut. Kalau anda roboh pun rumah uzur itu, masalah akan timbul juga sebab geran masih bernama arwah ayah.
Saya cadangkan selesaikan perkara ini terlebih dahulu. Kalau tidak mahu juga, anda buatlah persetujuan bersama dengan bertanda tangan semua pihak menyatakan persetujuan untuk dibina rumah baharu supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari.
Sumber: Datuk Ustaz Kazim Elias/Utusan