#Islam: Penceramah Taraf "Wali" Dakwa Tahu Tarikh Kiamat?

Gambar Hiasan
Soalan: Jiran saya hadir satu program ceramah yang disampaikan oleh seseorang dikatakan sebagai wali. Penceramah tersebut menyatakan bahawa tarikh kiraan kiamat ada disebut dalam al-Quran iaitu sekitar 40 tahun lagi. Benarkah dakwaan ini?

Jawapan:

Ceramah agama adalah baik secara umum. Namun begitu, ada ceramah agama yang sedikit tersasar daripada perkara yang sepatutnya. Ini kerana ceramah agama dicemari dengan kempen politik, budaya sesat-menyesatkan bahkan mengkafirkan orang lain dan perkara lain yang jelas bertentangan dengan asas Islam.

Satu kemusykilan tentang dakwaan bahawa penceramah adalah wali. Wali di sini ialah wali Allah. Kemungkinan benar ia wali Allah. Namun bagaimana kita dapat mengetahui bahawa seseorang itu adalah wali Allah.

Jika dalam ilmu tasawuf, biasanya disebut bahawa tiada mengetahui tentang wali melainkan seorang wali juga. Ini bermaksud hanya seorang wali Allah mengenali wali Allah yang lain. Oleh itu, kita tidak sewajarnya menetapkan keputusan secara pasti bahawa seseorang itu wali Allah. Namun kita hendaklah bersangka baik.

Tentang tarikh kiamat, adalah lebih baik dan selamat untuk kita berpegang dengan nas al-Quran yang menyatakan dengan jelas bahawa tarikh kiamat tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah sahaja.

Adapun dakwaan bahawa tarikh kiamat akan berlaku beberapa tahun lagi, maka kita jawab bahawa Allah lebih mengetahui.

Sumber: Utusan