Gambar Hiasan |
Ada seorang ustaz mengatakan kita perlu bayar fidyah solat orang yang telah meninggal dunia. Betulkah apa yang disampaikan oleh ustaz ini? Selama ini yang saya tahu hanya ada bayar fidyah puasa saja untuk orang yang meninggal dunia.
* Suraya Abdullah, Seremban.
Jawapan UKE:
Untuk menjawab soalan anda, adalah lebih baik terus kita merujuk kepada keputusan fatwa beberapa buah negeri berkenaannya. Menurut keputusan Fatwa Negeri Pulau Pinang:
"Tiada diqadakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati. Manakala hukum fidyah puasa, sekiranya orang yang mati sedang menanggung puasa fardu dan berkesempatan untuk menqadanya tetapi dia tidak berbuat demikian maka dikenakan fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadakan lewat bertahun maka fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun."
Menurut Fatwa Negeri Melaka:
"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil 3/2007 yang bersidang pada 2 Zulhijjah 1428H bersamaan 12 Disember 2007 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa: Tiada qada dan tiada fidyah bagi sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta’ daripada Ibn Umar".
Sumber: Datuk Ustaz Kazim Elias/Utusan