ISLAM dengan tegasnya tidak mengecualikan sesiapa pun daripada hukuman jika didapati bersalah. Islam diturunkan sebagai cara hidup berusaha melengkapkan akhlak manusia sebagai penghuni bumi yang lengkap dengan peraturannya.
Akhir-akhir ini, akibat kegilaan manusia tidak menghiraukan kelestarian alam kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Goh, Kuantan berubah wajah. Daripada kehijauan daun kepada merah berdebu.
Perlombongan bauksit dilakukan tanpa kawalan manakala pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan begitu ‘gelap mata’ membiarkan aktiviti itu berleluasa. Pabila manusia tidak mempedulikan kelestarian alam, musibah dan bencana menjadi balasannya.
Walaupun penguatkuasaan terhadap kegiatan itu dianggap sudah terlewat, kawasan tanaman kelapa sawit hampir gondol dan tanah-tanah berlubang, mudaratnya begitu besar sekali terpaksa ditanggung oleh penduduk setempat.
Hal sebegini yang sentiasa diingatkan oleh Islam, apa pun yang hendaklah dilakukan oleh manusia mestilah memikirkan kelestarian alam, kerana alam itulah yang memberikan manusia sumber kehidupan.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Wahai sekalian manusia sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah, apabila orang terhormat (pembesar) mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka menegakkan hukuman had. Demi Allah, sekiranya Fatimah Muhammad mencuri, sungguh aku sendiri yang akan memotong tangannya” (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis itu memberikan pemahaman yang jelas, Nabi Muhammad SAW tidak akan melindungi sesiapa pun yang melakukan kesalahan hatta puteri kesayangan baginda. Baginda sendiri akan menghukumnya, yakni memotong tangan jika Fatimah didapati bersalah mencuri.
Sebagai seorang pemimpin, Nabi Muhammad SAW tidak akan memilih untuk menghukum, kerana menegakkan peraturan dan undang-undang adalah tanggungjawab pemimpin dalam menentukan keadilan. Seseorang pemimpin, akan dianggap bersalah dan tidak adil apabila menegakkan undang-undang (law enforcement) secara selektif.
Undang-undang dibentuk dan dikuatkuasakan untuk menjadikan manusia menghormati hak orang lain agar sifat tamak dapat dijauhi. Dalam kes musibah, seringkali ditemukan kerosakan sistem dan kehidupan manusia sebenarnya berpunca daripada manusia sendiri, bukan sahaja mengkhianati undang-undang bahkan kerakusan menguasai kekayaan tanpa memikirkan kesejahteraan orang lain.
Manusia seperti ini kering moralnya, hilang rasa sayang, jiwanya gersang kerana menjadikan benda sebagai matlamat hidupnya.
Falsafah pembentukan dan penguatkuasaan undang-undang adalah membangunkan keadilan untuk setiap orang, mengikis perasaan tamak dan membanteras aktiviti haram.
Kes penyeludupan minyak masak bersubsidi, menyeludup petrol, makanan bersubsidi bukan sahaja merugikan negara bahkan boleh menyebabkan rakyat merasai kesannya, kekurangan barangan keperluan harian. Mereka yang melakukan aktiviti sedemikian dikategorikan sebagai pengkhianat dan penjenayah.
Pihak yang berkuasa yang melakukan salah guna kuasa, tidak wajar diberikan ruang untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang, hatta ia berada dalam kedudukan yang tinggi. Saat ini, belum ada tindakan undang-undang ke atas penerokaan balak secara haram oleh kerajaan Kelantan, segelintir mereka mempunyai kepentingan dalam meneroka hasil hutan itu.
Ertinya, pemimpin atau pihak berkuasa sendirilah yang mengkhianati peraturan, sepatutnya merekalah yang bertungkus-lumus menegakkan keadilan dan membangunkan kehidupan harmoni antara manusia dan alam, manusia dengan manusia.
Menegakkan keadilan adalah kemuncak kepada nilai ketakwaan yang kita miliki. Keadilan mesti ditegakkan dalam keadaan apa pun meskipun dalam perkara yang nyata kita benci. Kebencian kita kepada kaum atau kumpulan tertentu tidak boleh menghalang kita untuk berbuat keadilan untuk mereka yang kita benci. Perkara ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:
“Dan janganlah kebencian kalian terhadap suatu kaum menghalangi kalian berlaku adil. Berlaku adillah, kerana perbuatan adil itu lebih dekat kepada takwa” (Al Maidah: 8).
Persoalannya adakah ‘keindahan’ dan idealisme undang-undang itu hanya berlaku di atas kertas dan tersimpan rapi sebagai dokumen keramat? Adakah dapat diterapkan secara berkesan dalam konteks semasa yang menyaksikan berlakunya penyelewengan semakin berleluasa?
Malangnya, dalam pembanterasan jenayah, yang terungkap kesalahan ialah si ikan bilis manakala si jerung terus bebas. Ikan bilis tidak mempunyai kecekapan mengelak, kerana si ikan bilis kebiasaannya menjadi runner kepada si jerung.
Ada banyak persoalan yang masih tidak mempunyai jawapan, kenapa perlombongan bauksit boleh dibenarkan walaupun beberapa bulan sebelumnya penduduk setempat merintih marah, persekitaran udara berdebu merah.
Ramai pemerhati melihat, tindakan mendakwa ‘ikan bilis’ itu hanyalah sandiwara untuk mengikis persepsi dan kemarahan rakyat terhadap pemimpin atasan.
Tindakan membiarkan ‘ikan jerung’ masih berenang bebas di ‘samudera’ haloba cukup disesalkan. Ini kerana ikan jerunglah pihak yang paling bertanggungjawab terhadap wilayah kekuasaannya dan sebarang polisi berkaitan dengan ketenteraman dan kesejahteraan rakyatnya.
Ibarat sebilah pisau, tindakan pihak berkuasa bagi menunjukkan ‘kejantanannya’ dalam isu ini hanya tajam di bahagian bawah tapi tumpul di bahagian atas.
Kes bauksit adalah cerminan kepada corak dan gaya pentadbiran yang korup yang apabila tidak ditangani secara serius, akan menjejaskan keseluruhan imej pentadbiran negara secara keseluruhan.
Cara yang berkesan dalam memulihkan imej ini adalah dengan mengheret pelaku rasuah ke muka pengadilan. Jika tidak, kita mempertaruhkan kuasa ini akan hilang untuk selamanya.
Umat Islam juga harus berani menegur dan membongkar segala penyelewengan yang berunsur rasuah. Ini adalah jihad sosial yang amat dituntut bagi menegakkan keadilan dalam masyarakat.
Rasulullah SAW memberi amaran keras dalam sabda Baginda:
“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dan mereka yang menjadi orang tengah (perantaraan) keduanya. Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka.”
Oleh itu, amat diperlukan batasan-batasan dalam rangka menjaga kekuasaan tersebut. Batasan itu bergantung juga pada budaya bangsa. Bagaimanapun kalau kita beranjak daripada Islam, tentu saja kita menekankan lebih kepada soal iman, soal Islam, dan soal ihsan.
Fikiran dan perbuatan haruslah disandarkan pada ajaran ini. Orang yang berkuasa itu boleh saja mempunyai ilmu apa lagi pada zaman serba canggih ini.
Dalam Islam dituntut bahawa ilmu itu juga disandarkan pada iman. Kita memang mempunyai akal, tetapi dalam Islam hendaknya kita menyedari bahawa akal pun harus ditundukkan pada Allah. Kepercayaan seperti ini mengajak kita menjaga kekuasaan.
Pemimpin itu adalah seorang yang ihsan, yang bukan sekadar berbuat baik, tetapi juga menyedari bahawa semua sikap, fikiran dan perbuatannya sentiasa diketahui atau diawasi Allah SWT.
Pemimpin itu hendaknya jangan membuat kerosakan di muka bumi ataupun bersifat munafik iaitu berkata yang baik-baik namun dari segi praktiknya, perbuatannya tidak baik. Mereka bukan seorang yang khianat.
Maksudnya, kalau ia bersumpah untuk memajukan rakyat maka hendaknya jangan berbuat sesuatu yang terbalik, memiskinkan rakyat. Pemimpin juga jangan berlebihan dalam memiliki harta, dalam berkata-kata, ataupun mengeluarkan perintah yang tidak boleh dipatuhi oleh orang lain.
Bersolat tidak melambangkan seseorang itu tidak melakukan rasuah, tetapi rasa cinta kepada Allah SWT dalam mutiara ketakwaan akan membawa kepada terhindar daripada tragedi hidup oleh tangan kita sendiri, iaitu perangkap rasuah.
Negara boleh hancur apabila rasuah berleluasa sehingga masyarakatnya menganggap amalan itu sesuatu yang wajar kerana telah berjaya mendorong mendapatkan sesuatu kepada seseorang.
*Mohd. Shauki Abd. Majid, PENULIS ialah Setiausaha Analisis Dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)/Utusan