Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid |
ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid meminta semua pihak bertenang berhubung isu-isu yang menyentuh sensitiviti dan sentimen rakyat di negara ini yang melibatkan kementerian beliau.
Jelas Mahdzir, isu-isu yang berlaku di bawah kementeriannya kadang kala masih lagi di bawah siasatan dan tidak wajar diberikan sebarang kenyataan sebelum hasil siasatan selesai dijalankan.
"Saya meminta semua pihak sentiasa bertenang apabila berhadapan dengan isu yang sensitif kerana di peringkat Kementerian.
"Sesuatu isu tersebut kadang-kala masih dalam siasatan pihak KPM,JPN,PPD,Sekolah atau pihak berkuasa yang terbabit," jelas Mahdzir yang dipetik dari laman Facebook rasminya, sebentar tadi.
Menteri Pendidikan itu dipercayai mengulas mengenai isu sensitif yang melibatkan seorang guru wanita berbangsa Melayu dari sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang membuat laporan polis berkenaan satu insiden yang berbaur perkauman di Mersing, Johor, semalam.
Guru wanita tersebut mendakwa diserang seorang bapa murid yang memaki hamunnya dalam bahasa Cina dan membaling beberapa buku kepadanya di bilik guru sekolah vernakular tersebut, semalam.
Laporan polis itu juga menjelaskan tentang guru besar SJKC berkenaan yang dikatakan 'menghalau' guru terbabit dan dua lagi rakan setugasnya dari sekolah itu kerana mendakwa masyarakat Cina di situ mengatakan 'guru berbangsa Melayu tidak pandai mengajar'.
Selain dari menjelaskan tentang siasatan yang sedang dilakukan, Mahdzir menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan guru serta murid sebagai keutamaan beliau di semua peringkat.
"Kementerian sentiasa memastikan keselamatan dan kebajikan guru serta murid terpelihara," tegasnya.
Sementara itu, Mahdzir di laman yang sama turut menjelaskan tentang kes buli yang berlaku di Pendang yang hangat diperkatakan di laman-laman sosial telah berjaya diselesaikan dengan baik dengan semangat kemuafakatan yang tinggi di antara pihak terlibat. -Kedahnews.com