Isu Pelajar Lapar: Daphne Iking Dedah Buat 3 Kerja Tampung Belajar Di IPT

Daphne Iking
AKTRES dan hos televisyen jelita, Daphne Iking mendedahkan bahawa dia pernah melakukan tiga pekerjaan ketika masih menuntut di peringkat universiti bagi menampung yuran pengajiannya.

Selebriti cantik kelahiran Sabah ini mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Dalam twit menerusi laman sosial Twitternya, Daphne mendedahkan dia pernah bekerja sebagai penari kelab, tutor separuh masa dan juga promoter jualan rokok.


Ia dilakukan semata-mata bagi menampung bayaran yuran pengajian, makanan dan keperluan seharian semasa masih lagi bergelar pelajar universiti awam.

Walaupun dia terpaksa melakukan pekerjaan sampingan ketika masih bergelar penuntut universiti, namun perkara itu tidak sesekali dikesali ibu kepada anak dua tersebut.

Ini kerana menurutnya daripada situlah dia mempunyai memori dan pengalaman hidup yang banyak mengajarnya selain dapat berkenalan dengan orang-orang yang hebat.

Respons itu adalah sebagai menjawab persoalan mengenai isu semasa yang hangat dibincangkan selepas akhbar tempatan sebelum ini mendedahkan ada seorang pelajar IPT sanggup galas perut sehingga ususnya terkoyak.

Isu ini mendapat perhatian ramai netizen sehinggakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut mengeluarkan kenyataan bahawa siswa-siswi yang tiada wang tidak seharusnya berdiam diri.

Sebaliknya mereka perlu mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak, termasuk daripada universiti itu sendiri. –Kedahnews.com