Isu SRC, RM2.6 Bilion: Tiada Sebarang Unsur Jenayah, AG Beri Penjelasan

Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
PUTRAJAYA - Tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan ketiga-tiga siasatan berhubung kes SRC International Sdn. Berhad dan dakwaan dana 'RM2.6 bilion', kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung siasatan kes berkenaan.

Berikutan itu, katanya, ketiga-tiga kertas siasatan berkaitan akan dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk ditutup.

Mohamed Apandi berkata beliau telah mengkaji dengan teliti keseluruhan keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen serta maklum balas berkaitan klarifikasi dipohon sebelum ini berhubung satu kertas siasatan dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International yang dikemukakan kembali kepadanya SPRM.

Berhubung kertas siasatan dana yang dikatakan berjumlah RM2.6 bilion, Apandi berkata beliau berpuas hati berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen sokongan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri adalah merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi kepadanya tanpa apa-apa balasan.

Beliau berkata keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan SPRM menunjukkan dana yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri di antara 23 Mac 2013 dan 10 April 2013 berjumlah US$681 juta (RM2.08 bilion) adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Apandi berkata pihak SPRM sendiri dalam siasatan menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada perdana menteri secara peribadi.

"Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.

"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri," katanya.

Apandi berkata perdana menteri mengembalikan semula wang sejumlah US$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi dalam bulan Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut," katanya.

Berhubung perkara itu juga, Apandi berkata tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada negara asing untuk melengkapkan siasatan memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion itu.

Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, Apandi berkata tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Mengenai Akta SPRM, beliau berkata tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri menyalahgunakan kedudukannya semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri dibuat secara teratur, katanya.

"Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa, atau selepas keputusan Jemaah Menteri dibuat," katanya.

Apandi berkata daripada keseluruhan keterangan yang melibatkan keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh perdana menteri.

"Pihak SPRM sendiri mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah," katanya.

Mengenai Kanun Keseksaan, Apandi berkata tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri mengetahui "dan/atau" dimaklumkan terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

Beliau berkata tiada juga keterangan menunjukkan bahawa perdana menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau.

"Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, perdana menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang dipindahkan ke dalam akaun-akaun beliau sebelum itu," katanya. - BERNAMA