Isu Sumbangan Dana Selesai, Kini Masa Bergerak Ke Hadapan - Mohd Najib


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berikutan isu sumbangan kini selesai sepenuhnya, sekarang masanya bagi rakyat Malaysia untuk bersatu dan bergerak ke hadapan.

Perdana menteri berkata isu berkenaan telah menjadi gangguan tidak wajar terhadap negara ini.

Dalam entri terbaru akaun Facebooknya, Najib memberi keutamaan untuk Malaysia bergerak ke hadapan.

"Saya akan menggandakan tumpuan saya terhadap isu-isu yang menjadi keutamaan Malaysia, terutama memerangi ancaman pengganas dan mengukuhkan ekonomi ketika berdepan cabaran global," katanya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank perdana menteri.

Bercakap di Putrajaya, Mohamed Apandi berkata siasatan mendapati amaun yang didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013, dan daripada jumlah itu sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun yang sama.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung hasil siasatan kes berkenaan.

Najib berkata beliau mengalu-alukan kenyataan Mohamed Apandi berhubung perkara itu.

"Hasil keputusan itu adalah menerusi siasatan terperinci oleh pelbagai institusi berkaitan, dan beliau mengesahkan apa yang saya pertahankan selama ini - tiada kesalahan jenayah dilakukan," kata perdana menteri.

Najib berkata beliau sedar bahawa pembiayaan politik merupakan topik yang menjadi perhatian orang ramai.

Katanya sebab itu beliau memulakan cadangan pembaharuan dana politik pada 2010, tetapi malangnya ia dibantah oleh pembangkang pada masa itu.

"Bagaimanapun, saya mengarahkan mereka mengusulkan semula (cadangan itu) untuk dibincangkan," katanya. - BERNAMA