Itik Jadi Teman Bermanja Tidur Sebantal Kanak-Kanak Perempuan Ini...


Selalunya, kita hanya biasa mendengar manusia memilih untuk menyayangi kucing, anjing dan arnab sebagai haiwan peliharaan yang dimanjakan.

Namun, kami yakin tidak ramai yang berminat untuk menjadikan itik sebagai haiwan kesayangan yang dikilik ke hulu ke hilir menjadi teman bermain bersama.

Meskipun begitu, itulah yang terjadi pada seorang kanak-kanak yang berusia 5 tahun, Kylie Brown yang tinggal di Freeport, Maine, Amerika Syarikat.


Kisah Kylie menjadi viral di seluruh dunia setelah cerita dia berkawan dengan seekor itik yang dinamakan Snowflake tersebar dengan meluas di media sosial.

Snowflake yang berasal dari Maine telah dibela oleh keluarganya dan mereka menjadi sangat rapat sejak itik tersebut masih kecil lagi hingga hampir tidak boleh dipisahkan.


Mereka selalu bermain di pantai dan menaiki buaian bersama-sama.

Lebih menarik, pada perayaan Halloween yang lalu mereka sama-sama memakai kostum dari filem animasi terkenal, Frozen.


Kylie memilih untuk memakai kostum watak Puteri Elsa manakala Snowflake pula kelihatan comel apabila disarungkan dengan kostum Olaf.

Keakraban mereka dilihat seperti hubungan di antara manusia dengan manusia.


Ini kerana rutin harian Snowflake ialah menunggu Kylie pulang dari sekolah dan mereka akan tidur bersama-sama.

Ibunya Ashley berkata, mereka sekeluarga kini menganggap Snowflake sebahagian daripada ahli keluarga mereka sendiri. –Kedahnews.com