Janet Jackson Nafi Hidap Kanser Tekak, Mula Konsert Mac Ini

Janet Jackson
BINTANG pop sensasi antarabangsa, Janet Jackson, 49, menafikan sekeras-kerasnya berhubung dakwaan dia sedang bertarung nyawa akibat ketumbuhan yang terdapat di bahagian tekaknya.

Berita Janet sedang sakit mula timbul apabila kenyataan rasmi tentang pembatalan konsert jelajahnya, Unbreakable 2016 yang dirancang di pelbagai lokasi di seluruh dunia diumumkan.

Konsert ini dikatakan batal atas nasihat doktor dan Janet terpaksa menjalani pembedahan, namun sebab dan punca pembedahan dijalankan dirahsiakan.

Kurang senang dengan dakwaan dia mengidap kanser tekak, penyanyi yang juga adik kepada penyanyi lagenda Michael Jackson ini mengabadikan perasaannya menerusi lirik lagu berjudul The Great Forever.

Cerita asal mengenai Janet Jackson menghidapi kanser mula disiarkan oleh forum gosip terkenal di Amerika Syarikat, Radaronline.

Disebabkan hebahan palsu ini, media di seluruh dunia telah mengeluarkan berita Janet menghidap kanser.

Menurut Janet, doktor telah memberi kebenaran untuknya beraksi semula di konsert jelajah yang ditangguhkan bulan lalu.

Konsertnya akan bermula pada Mac dan April depan di negara-negara Eropah termasuk England.

Single My Great Forever boleh didapati dalam album terbaharu Janet yang berjudul Unbreakable. –Kedahnews.com