KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di kedudukan ke-152 kelab terbaik di dunia mengatasi Southampton dan AC Milan.
Laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers melaporkan, kedudukan itu berdasarkan statistik dikeluarkan Persekutuan Perangkaan dan Sejarah Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).
“Pencapaian itu berikutan kejayaan JDT menjuarai Piala AFC 2015 dan ia satu lagi lakaran sejarah apabila sebuah pasukan yang langsung tidak tersenarai dalam 500 kelab terbaik pada tahun 2014 tiba-tiba muncul di tangga tersebut.
“Ini bermakna, JDT adalah pasukan ke-11 terbaik di Asia pada 2015 dan berada di belakang Buriram United,” lapor laman Facebook berkenaan hari ini.
Menurut Johor Southern Tigers, kejayaan JDT itu menunjukkan kelab-kelab bola sepak Asia Tenggara mampu bersaing di peringkat dunia jika diurus secara profesional dan cekap.
JDT muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala AFC apabila menewaskan FC Istiklol 1-0 pada aksi akhir Piala AFC 2015 di Tajikistan. –Kedahnews.com