JDT Bukannya Mahu Penaja Yang Mahukan Publisiti

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menafikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan ditaja oleh penaja individu seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial.

Presidennya, Datuk Ismail Karim berkata, polisi JDT menjalin kerjasama tajaan jangka masa panjang adalah untuk program pembangunan dan bukan bagi tujuan publisiti.

“Kelab bolasepak JDT sangat bertuah kerana mendapat penaja-penaja besar yang merupakan penjana ekonomi di Johor. Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin terdapat penaja individu yang ingin memberi tajaan kepada kelab bolasepak JDT adalah tidak benar.

“Polisi kelab mahukan kerjasama penaja jangka masa panjang untuk pembangunan sukan bolasepak dan bukannya penaja yang mahukan publisiti,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ismail dalam pada itu memaklumkan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik pasukan JDT akan menyuntik dana tambahan sebanyak RM50 juta untuk mengukuhkan lagi kewangan pasukan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Harimau Selatan yang sama-sama turut menyumbang dan membentuk 30 peratus milikan kelab melalui Yayasan Penyokong JDT,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengumumkan baginda akan memberi dana sebanyak RM50 juta kepada pasukan JDT pada musim ini. – Kedahnews.com