Jemaah Pemangku Sultan Mahu Jumpa 21 Adun BN Esok?

Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan dua lagi anggota majlis itu dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat BN di Alor Setar pada Isnin.
ALOR SETAR - Jemaah Pemangku Sultan Kedah dilaporkan bakal mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengenai isu Menteri Besar negeri itu.

Difahamkan bahawa tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah mahu bertemu wakil rakyat BN secara individu esok supaya mereka boleh membuat penilaian mengenai situasi semasa sebelum penyelesaian muktamad dibuat.

Sumber politik Kedah menjelaska bahawa langkah itu perlu dibuat susulan keengganan Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Memetik mStar, dikatakan bahawa kesemua 21 wakil rakyat BN akan dipanggil termasuk Mukhriz.

Turut difahamkan bahawa mesyuarat itu yang akan diadakan di Alor Setar bertujuan untuk Jemaah Pemangku Sultan Kedah menilai sendiri sama ada majoriti wakil rakyat BN menyokong perubahan Menteri Besar.

Sebanyak 19 wakil rakyat dilaporkan telah menandatangani akuan bersumpah pada minggu lepas bersetuju dengan perubahan itu.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dan akuan bersumpah itu membayangkan bahawa langkah BN untuk melakukan perubahan Menteri Besar mendapat sokongan majoriti.

Perkembangan terbaru itu dilihat mempunyai persamaan dengan krisis Menteri Besar Perak sebelum ini apabila Sultan bertemu dengan beberapa wakil rakyat untuk menilai pendirian mereka mengenai krisis di Perak sebelum ini.

Pada Jumaat lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan nama calon yang dicadangkan untuk dilantik sebagai Menteri Besar baru kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Beliau juga telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung perkara itu pada Rabu lalu.

Mohd Najib berbuat demikian setelah mempertimbang gesaan majoriti kepimpinan UMNO Kedah menyuarakan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Kedah. -Kedahnews.com