"Jesus Christ" Rancang Nak Culik Anjing Milik Keluarga Barrack Obama


WASHINGTON – Seorang lelaki bersenjata berat yang mendakwa dirinya Jesus Christ dan merancang menculik anjing keluarga Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ditangkap beberapa hari lalu.

Scott Stockert, 49, ditangkap di sebuah hotel di Washington Rabu lalu selepas ejen Perkhidmatan Rahsia menemui beberapa senjata tidak berdaftar dalam traknya, bersama-sama dengan ratusan peluru dan parang, lapor stesen televisyen NBC.

Menurut laporan stesen itu, Stockert dari Dakota Utara didakwa merancang menculik Bo, satu daripada dua anjing baka Portugis milik keluarga Obama.


Dokumen mahkamah diperoleh Jumaat lalu menunjukkan Stockert dibebaskan dan diletakkan di bawah program pengawasan ketat serta diarah tidak memiliki senjata api atau senjata berbahaya lain, baik yang palsu ataupun yang betul.

Selain mendakwa dirinya Jesus, Stockert juga memberitahu ejen, bapanya ialah John F Kennedy sementara ibunya, Marilyn Monroe. – Agensi