Ketua Pembangkang Dun, Datuk Ir Amiruddin Hamzah |
ALOR SETAR - Keputusan memberi rebat cukai tanah oleh kerajaan pimpinan Pas pada 2008 dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan diyakini tidak menyebabkannya bankrap.
Ketua Pembangkang Dun, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pendekatan itu dibuat kerana kerajaan negeri pada ketika itu mampu mencari sumber lain sebagai hasil pendapatan negeri.
“Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa memikirkan soal kebajikan rakyat, kita harus berusaha mencari sumber baru yang tidak membebankan rakyat.
“Antara yang boleh digunakan adalah hasil balak secara optima yang dibenarkan pihak berkaitan sebagai hasil pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun kerajaan negeri pada ketika itu mampu mendapat hasil balak yang banyak, namun perbelanjaan yang digunakan amat berhemah.
“Semasa kita perintah Kedah, jumlah balak yang diteroka sekitar 2,850 hektar dan tidak melebihi 3,000 hektar setahun. Tetapi hasilnya adalah lebih banyak berbanding yang diperoleh kerajaan negeri sekarang.
“Misalnya pada 2009 kita mampu mendapat hasil balak RM33 juta, 2010 (RM9 juta), 2011 (RM75 juta) dan 2012 sebanyak RM64 juta,” katanya.
Beliau berkata, ia merekodkan perbezaan besar berbanding kerajaan negeri pimpinan BN yang meneroka 8,800 hektar kawasan balak sehingga Disember 2015.
Amiruddin berkata, jika hasil balak itu digunakan secara berhemah selain melakukan penjimatan perbelanjaan, ia tidak akan membankrapkan kerajaan negeri walaupun diberi rebat cukai tanah kepada rakyat.
“Isu terbaru sekarang kerajaan negeri mengutip cukai di kampung yang tidak diberikan apa-apa perkhidmatan perbandaran dan menaikkan pula cukai baru. Kalau itulah cara yang ada sekarang, sesiapa pun boleh jadi kerajaan negeri.
“Malah makmal transformasi yang diuar-uarkan untuk mencari mekanisme baru bagi kerajaan negeri juga akhirnya meletakkan segala bebanan itu kepada rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang didakwa tidak memberikan hasil kepada kerajaan negeri pada ketika itu, beliau menyifatkan ia sebagai ‘pelaburan’ jangka masa panjang.
“Kerajaan negeri hanya perlu bayar untuk Kuin sekitar RM45 juta setahun dan bayaran mengurus juga sudah berkurangan. Maktab Mahmud juga dimasukkan ke SABK (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dan secara tidak langsung memberi penjimatan kepada kerajaan negeri.
“Banyak yang kerajaan negeri sudah jimat. Tetapi beberapa program lain termasuk Kedah berselawat mungkin boleh dijimatkan untuk perbelanjaan kerajaan negeri,” katanya.
Bekas exco kerajaan negeri itu turut mempersoalkan perbelanjaan RM15 juta untuk Kedah e-Tutor (KeT) yang disifatkan hasilnya kurang memberangsangkan dan membazir.
“Kalau dia (Mukhriz) rasa takut bankrap, bagi saja kerajaan negeri kepada kita (pembangkang). Kita yakin ada pendekatan yang tidak bankrapkan kerajaan negeri.
“Sekarang tidak timbul isu rebat yang diberikan kerajaan negeri pimpinan dahulu, tetapi masalahnya sesetengah cukai yang dinaikkan lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, pelarasan kadar cukai sewa tanah 2015 sepatutnya tidak boleh dibandingkan dengan pelaksanaan cukai pada 2005 kerana ia diberi rebat pada 2008.
“Cukai 2005 tidak boleh dibandingkan dengan 2015 sebab kita (Pas) bagi rebat cukai pada 2008. Cukai 2015 sepatutnya dibandingkan dengan 2008.
“Misalnya cukai tanah rumah itu pada 2005 ialah RM85 dan pada 2008 dia hanya perlu bayar RM70 setelah pemberian rebat. Bermakna cukai 2015 sepatutnya lebih murah berbanding RM2008,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan pemberian rebat cukai sewa tanah secara purata bagi semua kategori tanah oleh kerajaan pimpinan Pas pada 2008 memberi kesan kepada hasil pendapatan kerajaan negeri.
Menurut laporan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia menyebabkan semakan cukai tanah 2015 lebih mencabar kerana perlu mengambil kira kadar semasa semakan 2005 serta kadar pemberian rebat pada 2008.
Mukhriz berkata, formula pemberian rebat yang menyebabkan kutipan hasil cukai tanah menurun mungkin boleh menyebabkan kerajaan negeri bankrap.
Sumber: Sinar Harian