KUALA LUMPUR - Dua beradik yang dikenali mempunyai sikap peramah, tidak diduga terpengaruh dengan doktrin Kumpulan Pengganas Daesh sehingga sanggup menjadi pengebom berani mati.
Terkejut dengan laporan berita kematian mereka di Iraq baru-baru ini, seorang jiran yang enggan dikenali berkata Mohamad Shazwan Mohd Salim, 31, dan adiknya Muhamad Shazani Mohd Salim, 28, sering menyapa beliau ketika terserempak di kawasan kejiranan, di Ampang di sini.
"Abangnya sangat ramah, adiknya pendiam sedikit, tapi masih ramah, selalu kalau berjumpa mereka akan tanya khabar," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Khamis.
Mohamad Shazwan yang melaksanakan misi pada malam 3 Jan, merupakan seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke utara Baghdad, Iraq.
Sementara adiknya Shazani dilaporkan terkorban pada 18 Sept tahun lepas dalam satu misi di Bayji di Utara Iraq semasa pergelutan bersama pihak berkuasa Iraq.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kematian dua beradik itu dan seorang lagi pengebom berani mati rakyat Malaysia dari Terengganu berusia 26 tahun iaitu Mohd Amirul Ahmad Rahim.
"Saya tengok berita mengenai pengebom berani mati di TV, namun tidak menyangka kedua-dua mereka itu adalah jiran saya.
"Patutlah sudah lama saya tidak nampak mereka," kata jiran itu yang hanya menyedari dua beradik berkenaan terlibat dalam serangan bom setelah melihat gambar mereka.
Ditanya mengenai perwatakan dua beradik itu, beliau berkata mereka tidak menunjukkan sebarang tanda terlibat dalam kegiatan ekstremisme sepanjang mengenali mereka lebih tujuh tahun lalu.
"Malah, mereka tidak pernah bercerita mengenai Daesh atau cuba mempengaruhi saya menyertai mereka.
"Saya tengok penampilan mereka biasa sahaja, pakaian pun macam remaja biasa sahaja, keluarganya pun sama," katanya.
Beliau berkata tidak banyak remaja sebaya dengan dua beradik itu tinggal di kawasan perumahan berkenaan dan beliau percaya mereka bertindak bukan atas pengaruh rakan.
"Saya fikir daripada perkenalan saya dengan mereka, mereka ini tidak mungkin akan mengambil tindakan bodoh itu. Saya rasa mungkin ada yang menaja mereka ke sana," katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kediaman keluarga mangsa berkunci. - BERNAMA