ALOR SETAR - Seorang ibu tunggal dari Taman Muhibbah, di sini hilang tempat bergantung apabila suaminya meninggal dunia 19 Julai lalu akibat barah usus.
Lily Suriati Zakaria, 34, berkata, dia perlu membesarkan empat anaknya berusia antara tujuh hingga 14 tahun selepas suaminya, Rosli Mohamed meninggal dunia.
"Arwah suami hidap barah usus sejak empat tahun lalu dan sejak itu dia tak mampu bekerja.
"Saya juga tak boleh bekerja sebab nak kena uruskan suami dan anak-anak," katanya.
Namun katanya, selepas kematian suaminya, dia bekerja sebagai pengasuh di sebuah tadika dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.
"Sewa rumah dan perbelanjaan sekolah anak-anak pula dibantu mertua buat sementara waktu," katanya.
Menurutnya, dia berulang-alik ke tempat kerja menggunakan kereta peninggalan arwah suaminya.
"Akan tetapi, gaji yang diterima tak cukup untuk sara anak-anak.
"Oleh itu saya harap dapat terima sedikit bantuan kewangan untuk tampung perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya.
Anak sulungnya, Muhammad Syamel Haiqal, 14, menaiki basikal untuk ke sekolah manakala tiga anaknya yang lain berusia 7, 11 dan 12 tahun hanya berjalan kaki.
Masalah dihadapi keluarga Lily walau bagaimanapun mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah melalui Pejabat JKM Daerah Kota Setar yang turun melawat dan membantu mereka.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, pihak mereka memberi bantuan segera sebanyak RM400 dan hamper makanan kepada keluarga berkenaan.
Malah katanya, bantuan kanak-kanak (BKK) sebanyak RM400 sebulan diberikan kepada Lily mulai Februari 2016 untuk menampung keperluan anak-anaknya yang bersekolah.
"Kami berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban persekolahan anak Lily dan memberi sinar buat mereka untuk meneruskan persekolahan tahun depan," katanya.
Sumber: Sinar Harian