Jokowi Kecam Keras Serangan Pengganas Di 6 Lokasi Di Jakarta


PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di enam lokasi di Jakarta, pagi Khamis.

Joko Widodo atau Jokowi menyifatkan tindakan ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab pihak pengganas.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya insiden keganasan ini. Kita tak perlu takut. Kita tidak akan mengalah dengan tindakan ganas seperti ini,” kata beliau yang kini dalam rangka lawatan ke Majalengka, Jawa Timur.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo
Menurut Jokowi lagi beliau akan segera pulang ke ibu negara Indonesia itu untuk memantau perkembangan terkini berhubung insiden yang menggemparkan seluruh Indonesia itu.

Dalam pada itu, Jokowi meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berdarah ini.

“Saya dengar terdapat banyak laporan mengenai letupan ini. Kami tidak mempunyai sebarang maklumat terperinci lagi. Saya menyampaikan ucapan takziah buat ahli keluarga mangsa yang terkorban.

“Saya harap semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi sehingga kita mendapat maklumat yang sahih daripada pihak polis. Beri masa dan ruang untuk pihak polis menjalankan tugas mereka sehingga dalang keganasan ini dapat ditangkap,” kata beliau lagi.

Beberapa siri letupan di Jakarta telah mengorbankan enam orang setakat ini.

Satu letupan berhampiran kafe terkenal Starbucks Coffee di pusat membeli-belah Sarinah Mall dilapor telah mengorbankan tiga orang termasuk pengebom berani mati.

Walaupun ramai beranggapan ini merupakan tindakan pengganas kumpulan pelampau Islam (IS) atau Daesh, namun sehingga kini tiada pihak yang tampil bertanggungjawab di atas insiden tersebut. –Kedahnews.com