KAFA Bersyukur Walau Tajaan Dr Vida Tampung 60% Bajet TRW

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) meminta penyokong The Red Warriors (TRW) tidak lalai dengan publisiti ke atas pasukan itu disebabkan penajaan dana oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dana tajaan yang bakal diperoleh TRW daripada syarikat produk Qu Puteh itu cuma menampung 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan bajet yang diperlukan pasukan bola sepak Kelantan.

“Mengendalikan pasukan di Liga Super tersangat berat dan sukar. Kita bersyukur dengan keberhasilan usaha setakat ini. Namun jangan mudah tenggelam dalam publisiti yang kadangkala meliar dan tersasar dari realiti.

“Penajaan setakat ini baru 50 hingga 60 peratus bajet kita (KAFA). Itu pun belum menjadi realiti sepenuhnya dan wang sebenar belum diterima,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Hasmiza atau lebih popular dengan gelaran Dr. Vida bakal menjadi penaja utama TRW selama dua musim dan dilantik sebagai Penasihat Kehormat KAFA.


Sebelum ini, Dr. Vida mencetuskan kontroversi apabila mahu Stadium Kota Bharu dicat dengan warna merah jambu selain menukar nama pasukan kepada “Pamoga Qu Puteh” The Red Warriors sebagai syarat tajaan lebih RM16 juta.

Sehubungan itu, kata Annuar, usaha perlu diteruskan bagi mencari baki 40 peratus dana yang diperlukan pasukan bola sepak Kelantan.

“Prestasi pasukan belum ke mana. Maka jangan mudah terlali, sentiasa bersederhana dan amanah. Jangan kelak karam dilambung ombak,” katanya. –Kedahnews.com