“Kaki Adik Boleh Tumbuh Balik Tak?” - Mangsa Gilis Lori


"BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul", demikian situasi yang menimpa adik Siti Nuraisyah Sahrin, 13, apabila kedua-dua kakinya putus akibat digilis lori pasir, kelmarin.

Kejadian yang berlaku petang Isnin ini menimbulkan simpati seluruh masyarakat Malaysia apabila gambar mangsa dalam keadaan terduduk atas jalan raya selepas kemalangan menjadi viral di media sosial.

Rata-rata netizen mengharapkan individu yang terlibat dalam kemalangan ini tampil bertanggung jawab dan menerima hukuman setimpal jika melakukan kesalahan.

Pada masa sama, ia harus jadi iktibar kepada ibu bapa dan pihak berkaitan soal keselamatan pelajar apabila pergi dan pulang dari sekolah menggunakan kenderaan sendiri.

Sementara itu, abang tiri mangsa yang dikenali sebagai Huzaini Sahrin menerusi laman Facebooknya berkongsi cerita sayu yang membuatkan sesiapa sahaja berasa pilu mendengarnya.

“Alhamdulillah dia mampu tersenyum walaupun soalan yang paling mengguris hati dia tanya kaki boleh tumbuh lagi tak?

“Bagi anda yang nak tau kejadian sebenar boleh la dapatkan info di newspaper, maaf saya tak dapat nak jelaskan apa yang berlaku 1 per 1. Diharap semua tanda tanya anda terjawab di akhbar. Terima kasih di atas doa dan kesudian anda mengambil berat tentang kami sekeluarga,” tulisnya.

Selain itu, Huzaini memberitahu adiknya yang kini sedang dirawat di hospital sangat tabah menghadapi ujian itu dan langsung tidak menangis.

“Syukurlah mak kata dia langsung tak nangis dan boleh berbual macam biasa… apa yang terharu dia tanyakan adik beradik dia yang lain.

“Syukur dia lebih kuat dari yang kami sangkakan. Berkat doa kalian yang mendoakan,” tulisnya lagi.

Menurut akhbar tempatan, kaki pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap ini digilis sebuah lori dari arah bertentangan selepas dia terjatuh dari motosikal akibat digesel sebuah kereta Kancil yang cuba memotong motosikal ditunggangi kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14.

Dua beradik tiri itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumah mereka di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.

Dalam perkembangan lain, pemandu lori dan pemandu kereta kancil terlibat telah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata, kedua-dua pemandu itu tidak ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –Kedahnews.com