"Kami Nak Tahu Penyebab Anak Kami Jadi Macam Itu.."


ALOR SETAR - Keluarga bayi malang, Al Fateh Ashraf, tiga bulan yang masih tidak sedarkan diri sejak 12 hari lalu selepas dipercayai terjatuh di sebuah taska, di Jitra, masih menanti jawapan berhubung kejadian sebenar yang menimpa anak mereka.

Ibu mangsa, Siti Marlina Md Guzali, 34, berkata, mereka sekeluarga mahu tahu punca dan situasi sebenar yang menyebabkan anak bongsu daripada tiga adik beradik itu koma.

"Kami nak tahu penyebab anak kami jadi macam itu. Tapi kami tetap positif ALLAH SWT akan tunjukkan kebenaran satu hari nanti.

"Kami tak akan berputus asa demi memastikan Fateh boleh menjalani kehidupan sempurna semula," katanya.

Menurutnya, mereka mengharapkan nasib menimpa anak lelaki mereka mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya.

Bapa mangsa, Ashraf Abdullah, 35 berkata, tahap kesihatan Al Fateh dilihat meningkat sedikit berbanding pada hari pertama dia ditempatkan di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Dari segi perubatan, kami serah kepada doktor untuk merawat Fateh. Alhamdulillah, kami berpuas hati atas rawatan diberikan doktor hospital sepanjang tempoh ini,” katanya.

Malah katanya, mereka sekeluarga memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kredibiliti polis untuk menyiasat kes menimpa anak lelaki mereka.

Difahamkan, keluarga Al Fateh bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan sekiranya nasib anak mereka tidak mendapat pembelaan sewajar.

Pada 13 Januari lalu, seorang bayi berusia tiga bulan dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh di sebuah taska di Jitra, dekat sini.

Sumber: Sinar Harian