Karnival Ini Mampu Bantu Usahawan Online Capai Status Jutawan, Jom Serbu!


Di era zaman tanpa sempadan ini di mana hampir segalanya berada di hujung jari, boleh dikatakan bahawa perniagaan secara online merupakan satu fenomena yang tumbuh bagaikan cendawan melata di pagi hari di negara kita.

Sebut saja apa produk anda sama ada tudung, busana muslimah lengkap, baju bayi, gajet, barangan kosmetik, beg tangan, kasut, peralatan rumah, khidmat andaman dan vape, hatta ubat kuat pun menjadi pilihan usahawan online di laman-laman sosial!

Namun begitu, tidak dapat dinafikan ramai juga usahawan online ini yang "terbantut di tengah jalan" dan terpaksa "gulung tikar", meskipun segelintir yang dimurahkan rezeki mereka menjadi jutawan online yang terkenal dengan produk masing-masing.

Apa rahsianya?

Untuk mengetahui rahsia usahawan online yang mantap, berdaya saing, mampu bertahan lama dan maju mencapai tujuan meningkatkan pencapaian perniagaan, maka bolehlah berkumpul beramai-ramai di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada 22 Januari hingga 24 Januari ini.


Kami difahamkan bahawa pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diteraju oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zahrah Fenner akan berkampung di sana untuk membantu seramai mungkin usahawan yang mencebur diri dalam perniagaan online.

Tidak terhad dengan membekalkan panduan, etika dan nasihat berguna keusahawan online sahaja, Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) SSM yang berlangsung selama 3 hari itu bakal mendedahkan para usahawan dengan pelbagai bantuan, skim dan dana tersedia yang mampu menjadi "tonik" kejayaan mereka nanti.

Progam anjuran SSM itu turut akan disertai oleh pelbaga agensi seperti Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Bank Simpanan Nasional, Hijrah Selangor, Perbadanan Harta Intelek (Mypo), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sebagainya.

Lebih menarik lagi, beberapa selebriti terkenal dan berjaya dalam perniagaan online seperti Fizo Omar, Elfira Loy dan Eyda Sulaiman juga bakal memeriahkan program dengan berkongsi rahsia kejayaan perniagaan mereka di sana.

Apa yang menjadi "wow factor" di program tersebut?

Istimewanya, para usahawan online bakal menerima pelbagai kemudahan dan kelebihan bagi perniagaan yang mereka ceburi seperti perlindungan insuran, kemudahan kredit, kursus dan latihan, faedah baik-pulih premis perniagaan sekiranya ada dan banyak lagi.


Dengan hanya membawa kad pengenalan dan yuran pendaftaran hanya serendah RM60 sahaja ke program tersebut dan mendaftar, maka segala keistimewaan tersebut bakal diperoleh tanpa perlu bersusah payah ke pejabat SSM atau berebut-rebut di kaunter agensi berkenaan.

Lebih penting, para peniaga online juga tidak lagi perlu risau dengan denda puluhan ribu ringgit atau hukuman penjara setelah mendaftarkan diri secara sah dengan SSM.

Menariknya, para usahawan online juga boleh hadir bersama keluarga ke karnival tersebut kerana pelbagai acara turut diadakan untuk seisi keluarga seperti peraduan, kuiz, cabutan bertuah, street soccer, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan BMX trick, hiphop dan busking.


Kedahnews.com yakin bahawa karnival seumpama ini sudah lama ditunggu-tunggu oleh golongan ratusan ribu usahawan online yang bertebaran di seluruh negara di mana ia mampu memberi bantuan, garis panduan dan penerangan terperinci tentang maklumat atau kaedah menjayakan perniagaan masing-masing.

Sayangnya, apa yang dicemburui ialah karnival berkenaan diadakan di Shah Alam, ratusan kilometer dari kawasan utara semenanjung di mana mungkin hanya segelintir sahaja usahawan dari kawasan ini untuk menyerbu ke karnival tersebut.

Justeru itu, Kedahnews.com memohon jasa baik dari pihak SSM supaya membawa Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) SSM ke negeri Kedah yang menjadi hub terbesar usahawan online di zon utara tanahair.

Kami yakin, penganjuran karnival seumpama ini bakal menerima sambutan hangat dari kalangan usahawan online dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, termasuklah dari seberang sempadan negeri kami, Thailand!

Jadi Datuk Zahrah Fenner, bila lagi nak sampai ke Kedah, kan? Mai cek maiii... - Kedahnews.com