Kedah Bakal Terima Menteri Besar Baru Selewat-Lewat Rabu Ini?


ALOR SETAR - Kedah dikatakan bakal menerima Menteri Besar Ke-12 selewat-lewatnya pada Rabu ini apabila 20 daripada 21 Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dari Barisan Nasional (BN) bersetuju dan akur untuk menerima sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Datuk Paduka Mukhriz Mahathir.

Memetik laporan dari sebuah portal pro-UMNO terkenal, myKMU.net, sumber mereka menjelaskan bahawa kesemua Adun berkenaan telah menyatakan taat setia kepada Presiden UMNO dan menerima sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

Turut difahamkan portal itu bahawa kesemua mereka bersedia menghadap DYMM Tuanku Sultan Kedah sekiranya dipanggil untuk menyatakan sokongan kepada keputusan UMNO dan Barisan Nasional.

Sehingga petang tadi, sumber berkenaan menjelaskan bahawa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah bercakap dengan hampir 90 peratus Adun BN Kedah.

Walau bagaimanapun, portal berkenaan tidak dapat kepastian sama ada mengekalkan keputusan melantik Timbalan Pengerusi BN dan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar yang baharu atau tidak.

"Apa yang menjadi pertimbangan ketika ini ialah sama ada mengekalkan keputusan melantik Timbalan Pengerusi BN dan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah atau melantik calon lain yang kurang kontroversi dan bagi meredakan keadaan," tulis portal berkenaan.

Sebelum ini portal tersebut pernah melaporkan tentang "3 Ahmad" yang dikatakan antara nama-nama calon Menteri Besar yang dipertimbangkan sekiranya perubahan kepimpinan Kedah berlaku.

Dikatakan juga bahawa kem Mukhriz dikatakan telah menerima hakikat mereka tidak lagi mampu menghalang perubahan dan sekarang berusaha untuk menolak pelantikan Ahmad Bahsah sebagai Menteri Besar. -Kedahnews.com