"Keluarga Kami Orang Susah Tapi Adik Berlagak Macam Orang Kaya..."


TIDAK dapat dinafikan bahawa memilih kawan adalah penting dalam kehidupan kerana ianya boleh mempengaruhi peribadi seseorang sama ada ke arah kebaikan ataupun kejahatan.

Sehinggakan terdapat perumpamaan menyatakan teman yang baik dan teman yang buruk boleh diibaratkan seorang penjual minyak wangi dan seorang lagi tukang besi.

Di mana, berkawan dengan penjual minyak wangi akan mendapat bau harum darinya manakala, berada dengan si pandai besi akan mendapat bau asap yang tidak sedap baunya.

Buktinya, lihat sahaja apa yang berlaku kepada seorang pelajar universiti ini.

Dek kerana terpengaruh dengan trend peredaran semasa dan rakan-rakannya, gadis ini sanggup menyusahkan ibu bapa meskipun bukan berasal dari keluarga senang.

Perkara ini diceritakan oleh Selipar Hijau menerusi Facebook IIUM Confessions – BM.
“Saya ada seorang adik perempuan. Muda lagi dan tengah sambung degree. Dia pakai tudung, solat semua terjaga. Kawan-kawan dia ramai yang ‘hot stuff’, jenis instafamous gitu.

Dulu semasa sekolah, suka lepak di Pavillion. Paling best adik saya seorang saja yang pakai tudung. Korang dulu ingat lagi yang dulu ada page Anti Pavilion Kids kan? Ha, macam itulah jenis kawan-kawan adik saya ini. Serius saya tak gemar dengan kawan-kawan dia.

Sekarang, kawan-kawan dia itu sudah insaf (berhijab) tetapi masih ‘hot stuff’ lagi. Adik saya ini pula jenis yang mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dia. Kawan dia makan Starbucks, dia pun nak makan Starbucks. Kawan dia beli iPhone, dia pun nak beli iPhone.

Padahal realitinya keluarga kami bukan orang senang. Kawan-kawan adik saya itu pun lagilah, rumah PPR dan ada yang yatim piatu. Tetapi selalu ‘upload’ gambar di Instagram acah-acah hipster.

Adik saya boros orangnya. Suka beli barang berjenama dan berlagak seperti orang kaya. Sekali tengok adik saya ini dengan kawan-kawannya seperti anak Tan Sri. Tak mainlah kan beli baju di pasar malam ini. Paling-paling murah pun mestilah Uniqlo.

Saya kasihan pada ibu dan ayah. Ibu punyalah berjimat masak hari-hari di rumah. Penat dia beri ceramah pada adik tetapi adik tidak pernah mahu mendengar. Ibu dari dulu tak suka kawan-kawan adik. Tahu sajalah naluri seorang ibu itu bagaimana.

Satu saja yang saya bersyukur iaitu mujur saya tidak mempunyai kawan-kawan yang acah-acah hipster. Buat apa nak nampak ‘up-to-date’ kalau realitinya kita orang miskin?” Kedahnews.com