ALOR SETAR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak terus didesak untuk membuat keputusan yang tergesa-gesa.
Kata beliau, Mohd Najib wajar diberikan ruang untuk membuat keputusan yang mencapai status "menang-menang" bagi semua pihak termasuk pihak Istana Anak Bukit, Barisan Nasional (BN) negeri Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri demi kebaikan rakyat di negeri itu.
"Dan walaupun semua pihak menjangkakan yang lebih teruk, sehingga menjangka bahawa negeri itu mungkin jatuh, pada akhirnya segala-galanya diselesaikan dengan memuaskan hati semua pihak mahupun istana," katanya yang dipetik dari laman blognya, sskeruak.blogspot.my.
Walau apapun proses perubahan kepimpinan di Kedah, Salleh menjelaskan Najib perlu diberi masa untuk mendapat pandangan dari pihak istana sebelum memutuskan perkara yang mengejutkan ramai pihak itu.
"Tetapi, sebelum CEO negeri dilantik, presiden parti perlu terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada parti termasuk memperoleh pandangan istana di negeri-negeri yang mempunyai menteri besar," tulisnya lagi.
Kata beliau, krisis berkenaan adalah sesuatu yang biasa dan sebenarnya tidak wajar dianggap sebagai krisis.
"Malahan, ia dianggap sebagai krisis sedangkan sebenarnya ia bukan krisis,"tulisnya. -Kedahnews.com