Kementerian Kesihatan Keluar Garis Panduan Hadapi Panas Luar Biasa

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai dalam berhadapan dengan fenomena El Nino kuat yang menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, fenomena El Nino menyebabkan kelembapan berkurangan sehingga 60 peratus dan kenaikan suhu sehingga 2.0 darjah celcius berbanding biasa.

“Pada hari biasa suhu maksimum di antara 28.6 darjah celcius dan 35 darjah celcius manakala semasa hari panas suhu maksimum di antara 35°C dan 37 °C.

“Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya, cecair dalam tubuh berkurangan seterusnya menyebabkan individu terbabit mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Noor Hisham berkata, musim kering berpanjangan juga boleh menyebabkan krisis bekalan air, kebakaran hutan, jerebu dan penyakit bawaan air dan makanan serta penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan penyakit berkaitan jerebu.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai seperti berikut:
i. Minum air secukupnya dan minumlah air yang telah dimasak.

ii. Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.

iii. Pakai pakaian yang ringan dan elakkan pakaian tebal dan ketat.

iv. Sebolehnya berada di dalam rumah atau bangunan. Tinggallah dalam rumah yang mempunyai pengudaraan yang cukup atau kelengkapan pendingin hawa sekiranya mampu.

v. Orang ramai disarankan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes penyebab denggi seperti bekas plastik, tin kosong, tayar dan pasu bunga.

vi. Orang ramai yang menyimpan air di dalam bekas disarankan supaya memastikan bekas penyimpanan air adalah bersih dan selamat iaitu tidak pernah digunakan untuk menyimpan bahan kimia atau racun.

vii. Semua bekas penyimpanan air ditutup supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, tidak tercemar oleh bakteria dan haiwan perosak. Masukkan abate ke dalam bekas-bekas air yang terbuka. Air yang disimpan perlu ditukar sekiranya ada perubahan bau, warna, rasa dan terdapat pembiakan nyamuk atau lumut di dalam bekas penyimpanan.

viii. Berjimat dalam penggunaan air seperti menggunakan air yang telah digunakan (kitar semula) untuk menyiram pokok, mencuci kereta, mencuci lantai dan longkang.

ix. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jika penyakit bertambah teruk. Perokok, pengguna rokok elektronik dan vapers juga dinasihatkan supaya berhenti merokok.
Kedahnews.com