Kementerian Pendidikan Salur RM3.28 Juta Kepada 47 SJKT Di Kedah

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan
ALOR SETAR - Peruntukan sebanyak RM3.28 juta telah disalurkan kepada 47 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kedah untuk kerja penambahbaikan infrastruktur sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata peruntukan itu disalurkan kepada sekolah bantuan modal yang memerlukan bantuan kewangan untuk menambah baik keperluan asas sekolah untuk keselesaan guru dan murid.

"Peruntukan daripada Kementerian Pendidikan yang diberikan kepada 47 sekolah itu diharapkan dapat digunakan dengan baik bagi memberi keselesaan kepada murid dalam menjalani proses pembelajaran yang sempurna.

Selain itu, penekanan kepada keselesaan guru-guru perlu diambil kira kerana kita dapati ada bilik guru yang serba kekurangan dan perlu dinaik taraf. Saya ingin mengingatkan sekali lagi supaya peruntukan yang diberikan tidak disalahgunakan," katanya kepada pemberita di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan berkata pihaknya akan memantau sekolah-sekolah supaya peruntukan yang diberikan itu diurus dengan baik dan telus.

"Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga telah diingatkan untuk memantau kelancaran penggunaan peruntukan yang diberikan di setiap sekolah. Kita berharap dengan setiap sen yang diberikan itu akan membantu meningkatkan keputusan peperiksaan dan kemajuan murid sekolah di Kedah," katanya. - Bernama