Kerajaan Negeri Arah Siasat Hospital Punca Tertukar Bayi


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan terhadap sebuah hospital swasta di Jitra yang menyebabkan dua pasangan tertukar bayi perempuan yang baharu dilahirkan, Rabu lalu.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, insiden itu adalah serius kerana melibatkan kesahihan identiti bayi yang dilahirkan.

“Jabatan Kesihatan Kedah akan menyiasat kes ini dan maklumat rasmi mengenainya akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Kedah akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menyelesaikan kes ini sebab ia menimbulkan keraguan orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebarang hukuman atau denda yang dikenakan terhadap  hospital terlibat adalah bergantung kepada siasatan Kementerian Kesihatan.

“Ia tertakluk kepada peraturan sedia ada. Sama ada hospital itu dibenarkan beroperasi atau diarahkan tutup sementara, bergantung kepada keputusan siasatan.

“Di peringkat awal, kita percaya ia mungkin disebabkan kecuaian pihak berkenaan atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata, SOP menetapkan setiap bayi yang dilahirkan hendaklah diikat tanda nama dan ditunjukkan kepada ibunya dahulu sebelum boleh dibawa keluar dari bilik persalinan.

“Kita akui manusia tidak boleh lari dari kesilapan tetapi semua pihak seharusnya berhati-hati dalam perkara sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, sepasang suami isteri tidak menyangka bayi perempuan yang dibawa pulang ke rumah sejak jam tiga petang , Rabu lalu merupakan anak kepada pasangan lain yang melahirkan anak sulung.

Pasangan Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, dan Mahani Zakaria, 36, hanya dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira jam 8 malam selepas dihubungi pihak hospital berkenaan.

Kedua-dua bayi itu ditukarkan semula kira-kira jam 11 malam hari sama sementara menanti keputusan ujian DNA bagi mengesahkan identiti bayi masing-masing.

Sumber: Sinar Harian