Kereta Bertembung Lori Ikan Di Sg Pau, Lelaki Maut 2 Kritikal

SIK - Seorang lelaki maut manakala rakan wanitanya kritikal selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan lori ikan di Jalan Jeniang-Sik, berhampiran Kampung Sungai Pau, awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata dalam kejadian pada kira-kira 2 pagi itu, Mohd Fandy Harunarshid, 30, maut di tempat kejadian manakala Siti Zainab Othman, 39, yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera parah.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Fandy, dari arah Jeniang, terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori ikan yang datang dari arah Batu Lima, Sik," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Ismail berkata, pemandu lori yang juga seorang peniaga ikan, Khoo Ah Wing, 49, turut mengalami cedera parah.

Sementara penumpang hadapan lori, Khoo Kim Hee, 53, yang juga peniaga ikan, tidak mengalami kecederaan.

Mayat dihantar ke hospital Sik untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama