Kerjasama UMNO - PAS: Ahli Parti Lain Yang Kalut, Kecoh - Nasrudin Hassan

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan
KUALA LUMPUR – Ahli parti politik lain yang kecoh apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengadakan satu taklimat khas pada Sabtu ini bagi menerangkan tentang kerjasama PAS dengan UMNO .

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ahli parti lain terbabit tidak sepatutnya kalut tidak tentu pasal kerana program tersebut tidak melibatkan mereka.

“Ahli PAS jangan terpedaya dengan persepsi yang cuba dibentuk oleh mereka yang bersarang hasad di perut pedal mereka. Ahli parti lain harap bertenang dan jangan kecoh atau kalut tidak tentu pasal. Anda tidak terlibat, sekian dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mynewshub.cc semalam melaporkan kerjasama politik di antara dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan PAS mungkin bakal direalisasi selepas Presiden PAS dijadualkan memberi taklimat khas tentangnya pada Sabtu ini.

Ia berikutan kemesraan yang terjalin diantara pemimpin PAS dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak kebelakangan ini, malah Najib secara terbuka menghulurkan ‘salam silaturrahim’ kepada PAS pada satu majlis baru-baru ini.

Perkembangan terbaru itu menyebabkan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan semakin gelabah lalu memperhebatkan usaha mereka memburuk-burukkan Presiden PAS dan pimpinan parti itu melalui media sosial.

Justeru, Nasrudin melahirkan rasa hairan kerana ada pemimpin dan ahli parti lain yang panik dengan taklimat khas Presiden PAS tersebut.

Nasrudin dalam itu meminta pemimpin dan ahli PAS yang menyertai taklimat itu supaya bersedia untuk menerima segala arahan dan melaksanakan amanah yang akan diberikan oleh Presiden PAS serta pucuk pimpinan parti pada takilmat tersebut.

Menurut beliau, Lajnah Penerangan PAS Pusat akan turut menjelejah ke seluruh negara bagi menyampaikan arahan, amanah dan pencerahan oleh Abdul Hadi kepada seluruh ahli PAS di peringkat akar umbi. –Kedahnews.com