Kes Adam Adli: Mahkamah Tetap 29 Mac Dengar Bantahan Pendakwaan

Adam Adli Abd Halim
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini menetapkan 29 Mac untuk mendengar bantahan pihak pendakwaan terhadap permohonan aktivis Adam Adli Abd Halim dan Mohd Fariz Abd Talib untuk merujuk isu perlembagaan berkaitan protes jalanan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaitul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan hujahan bantahan itu kepada peguam Melissa Sasidaran yang mewakili Adam Adli dan Mohd Fariz, semalam.

Mahkamah menetapkan 3 Feb bagi pembelaan menfailkan balasan terhadap bantahan itu.

Kedua-dua aktivis berkenaan mengemukakan permohonan untuk mencabar beberapa isu antaranya sama ada protes jalanan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 8 sept 2015, Adam Adli, 26, dan Mohd Fariz, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai protes jalanan bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di sini antara 4 petang dan 7.30 malam, 28 Feb tahun lepas.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) akta Perhimpunan aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan. – BERNAMA