Kewangan Islam Global Beroperasi Dalam Persekitaran Mencabar - Zeti Akhtar

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
KUALA LUMPUR – Sistem kewangan Islam global kini beroperasi dalam persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa yang menjadi semakin mencabar, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata risiko baharu lebih kompleks berikutan implikasi sistemik yang sejajar dengan peningkatan beberapa faktor, termasuk globalisasi persekitaran teknologi dan pengantarabangsaan kewangan Islam.

“Secara kumulatif, perkembangan ini memerlukan pengawalseliaan berhemat yang lebih baik dan pemantauan penyeliaan untuk memastikan sistem kewangan yang mapan dan berdaya tahan,” katanya pada sesi Penglibatan Industri Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) di sini semalam.

Zeti berkata bank-bank Islam Malaysia kini mempunyai potensi untuk meneruskan peranan mereka dengan lebih baik sebagai perantara pelaburan melalui penawaran akaun pelaburan selain produk deposit yang telah kukuh.

“Ini disokong oleh pengiktirafan undang-undang akaun pelaburan dalam AktaPerkhidmatan Kewangan Islam 2013, yang menyediakan perbezaan antara akaun deposit dan akaun pelaburan yang menawarkan peluang pelaburan baharu bagi memenuhi keperluan pelbagai pilihan risiko-pulangan pelabur,” katanya.

Dalam pembangunan akaun pelaburan, Zeti berkata ia penting bagi bank-bank Islam, pelabur dan usahawan untuk menerima pendekatan yang berbeza dalam pengurusan hubungan risiko dan pulangan yang terdapat dalam pelbagai kontrak Syariah.

Beliau berkata hubungan ini perlu difahami dengan baik oleh pihak-pihak yang terlibat berikutan ia sejajar dengan keperluan operasi dan kontrak.

Zeti berkata setakat ini, lapan buah bank Islam menawarkan akaun pelaburan kepada pelanggan mereka.

Dijangka jumlahnya meningkat apabila proposisi nilai akaun pelaburan, dengan ciri-cirinya yang unik dan pasaran sasaran yang pelbagai, menjadi lebih difahami, katanya.

Beliau berkata komunikasi diterajui industri oleh Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia akan menyumbang ke arah meningkatkan tahap kesedaran pengguna mengenai konsep dan ciri-ciri utama akaun pelaburan.

“Penubuhan terkini sebuah konsortium oleh empat buah bank Islam untuk membangunkan dan mengendalikan Platform Akaun Pelaburan, yang akan dilancarkan pada bulan depan, juga satu lagi inisiatif untuk memacu penawaran baharu ini,” katanya.

Zeti berkata dengan persediaan yang mencukupi, institusi kewangan Islam dapat terus merealisasikan proposisi nilai kewangan Islam yang sebenar, terutamanya sebagai rejim kewangan yang memberi penekanan kepada perkongsian risiko.

“Dan langkah itu mengukuhkan lagi hubungan kewangan kepada ekonomi sebenar,” katanya.

Beliau berkata peserta industri akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan gelombang inovasi kewangan yang bersifat evolusi dan lazim dalam kewangan Islam yang membolehkan penawaran produk perkongsian risiko yang lebih besar kepada pengguna dan perniagaan. – BERNAMA