Kisah sebuah keluarga kurang berkemampuan yang pernah disiarkan 2 Januari lalu. |
SIK - Kisah kemiskinan sebuah keluarga di sini, sehingga terpaksa membawa anak berusia dua tahun menoreh getah mendapat perhatian Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Sik.
Ketua Amanah Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim berkata, Amanah Sik dengan kerjasama beberapa bantuan NGO akan menghulurkan bantuan sedaya upaya kepada keluarga berkenaan selewat-lewatnya dalam Januari ini.
“Sebelum ini pihak kami ada berjumpa dengan keluarga terbabit dan kami dapati rumah mereka juga dalam kategori daif.
“Bagi meringankan beban keluarga itu, Amanah akan membaik pulih rumah mereka pada bumbung, pintu, bilik air dan dinding,” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, nasib pasangan suami isteri bersama dua anak mereka yang disiarkan Sinar Harian, 2 Januari lalu, mendapat reaksi ramai pengguna media sosial setelah kisahnya menjadi viral.
Menurutnya, Amanah turut menyalurkan bantuan barang keperluan, termasuk pakaian sekolah.
"Kita harap dengan bantuan ini, kita dapat ringankan sedikit beban keluarga itu.
"Kita akan cuba usahakan bantuan susulan sebaik mungkin," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Amanah Sik akan berusaha memastikan mana-mana isu kemiskinan di daerah ini mendapat perhatian pihak berwajib.
“Amanah akan membantu menerusi saluran tepat.
"Malah kita juga tidak akan mengabaikan peranan pejabat zakat dalam menangani soal kemiskinan di kawasan ini,” katanya.