Kisah Bayi Kembar Seorang Dilahir 2015, Seorang Lagi 2016...


Maribel Valencia tidak berhenti-henti merenung pada jam dinding yang  menunjukkan hampir jam 12 tengah malam, manakala suaminya yang tersayang, Luis ada di sisi.

Pembedahan Caeserean yang dirancang pada 6 Januari terpaksa dibatalkan apabila kandungannya yang kembar itu memberikan isyarat mahu lahir ke dunia pada hari terakhir tahun 2015.

Pasangan itu sama-sama berharap agar sempena tahun baru, mereka bakal meraikan kelahiran anak kembar di dewan bersalin Pusat Perubatan Kaiser Permanente Zion.

Namun takdir Allah SWT itu punya perancangan yang tersendiri.

Cahaya mata kembar milik keluarga Valencia itu bakal berkongsi tahun lahir berbeza buat selama-lamanya, lapor NBC Los Angeles.

Seorang bayi lahir pada minit terakhir tahun 2015 manakala seorang lagi muncul ke dunia selepas dua minit tahun baru 2016 diraikan.


Menurut petugas hospital, bayi perempuan, Jaelyn lahir pada jam 11:59 malam 31 Disember 2015 manakala bayi lelaki, Luis lahir pada jam 12:02 pagi hari berikutnya.

Laporan hospital menyatakan kedua-dua kembar itu lahir dengan ketinggian 47 sentimeter. Jaelyn mencatat berat 2.23 kilogram manakala Luis seberat 2.52 kilogram.


Maribel bertugas sebagai juruwang di Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego manakala Luis berkhidmat sebagai mekanik bagi Tentera Laut Amerika Syarikat. Selain Jaelyn dan Luis, mereka mempunyai seorang lagi cahaya mata, Isabella, yang berusia tiga tahun.

“Peristiwa ini begitu istimewa.  Saya tidak pernah melihat kejadian sebegini sepanjang 34 tahun bekerja di sini,” ujar jururawat Lynnette Coetzee. –Kedahnews.com