Keadaan tempat berteduh sementara Fatimah |
KUALA KEDAH - Seorang wanita menjadikan bangunan terbiar di Pekan Kuala Kedah, di sini, sebagai kediaman selepas buntu mencari tempat tinggal sejak ditinggalkan suami.
Fatimah Zainal, 57, yang beralamat asal di Kampung Alor Pulai, Kota Sarang Semut, di sini, menetap di bangunan itu bersama anaknya, Saibun, 28, sejak Mei tahun lalu.
Menurutnya, 'rumah' yang hanya berdindingkan kain selimut itu tidak mempunyai sebarang kemudahan asas.
“Sebelum ini, kami tinggal di merata-rata tempat termasuklah di pelantar ikan sebab ada masalah duit.
“Selepas ditinggalkan suami, saya dah tak tau nak pergi mana. Jadi tinggal dalam bangunan ni buat sementara,” katanya.
Fatimah berkata, dia yang menderita penyakit kencing manis mencari rezeki dengan mengambil upah memotong kepala ikan berhampiran tempat tinggal sementara mereka.
"Dulu Saibun jadi nelayan, tapi sebab dia ada masalah kesihatan akhirnya berhenti," katanya.
Bagaimanapun, kesempitan hidup dilalui anak-beranak itu mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Pegawai Korporat LZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, status tanah dimiliki ayahnya tidak diketahui, menyukarkan LZNK membina kediaman buat wanita berkenaan.
Namun begitu, pihak LZNK tetap komited meringankan bebanan keluarga Fatimah melalui bantuan fakir bulan berjumlah RM450.
"Bantuan ini akan mula disalurkan kepada Fatimah bermula bulan Februari untuk dia membeli keperluan harian, terutamanya makanan dan bekalan insulin untuk penyakitnya," katanya.
Sementara itu, menurut Pengurus cawangan Kota Setar, Mohd Shabudin Ahmad, pihak mereka terus ke lokasi berkenaan selepas menerima maklumat berkaitan wanita itu, beberapa hari lepas.
Dalam pada itu, LZNK telah mengagihkan bantuan kira-kira RM144 juta pada 2015 berbanding jumlah kutipan pada tahun sama, iaitu sebanyak RM134 juta.
Bagi orang awam memiliki maklumat berkaitan mana-mana asnaf boleh menghubungi mereka di talian 1-800-88-1740, mahupun melayari www.zakatkedah.com atau FB/zakatkedah.
Sumber: Sinar Harian