KERETA kebal Korea Selatan bergerak berhampiran Zon Tanpa Tentera, tidak jauh dari Paju di wilayah Gyeonggi-do. |
SEOUL - Seorang pegawai kanan Korea Utara semalam menyifatkan tindakan Korea Selatan menyiarkan propaganda dengan pembesar suara berkuasa tinggi meletakkan kedua-dua negara bermusuh itu di ambang peperangan.
Ia reaksi rasmi pertama Pyongyang terhadap tindakan Korea Selatan itu.
Ujian keempat nuklear Korea Utara Rabu lalu mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat dan China yang tidak diberikan notis lebih awal walaupun Washington dan pakar senjata sangsi dakwaan Korea Utara kononnya ujian itu membabitkan bom hidrogen.
Sebagai tindak balas terhadap ujian berkenaan Seoul semalam melancarkan serangan propaganda. Kali terakhir ia melakukannya ialah pada Ogos 2015 yang menyebabkan tercetusnya serangan meriam antara kedua-dua pihak.
“Kerana cemburu dengan kejayaan bom hidrogen pertama, Amerika Syarikat dan sekutunya meletakkan negara ini di ambang peperangan dengan menyambung semula siaran propaganda,” kata Kim Ki Nam, ketua Jabatan Propaganda Parti Pekerja Korea Utara pada satu perhimpunan.
Media kerajaan menyiarkan imej yang menunjukkan ribuan orang menyertai perhimpunan itu di tengah Pyongyang sambil membawa poster gambar pemimpin negara itu, Kim Jong Un, yang menyambut hari jadinya kelmarin.
Siaran propaganda yang dilakukan Korea Selatan di 11 kawasan sepanjang sempadannya dengan Korea Utara dilakukan dengan turut menyiarkan muzik ‘K-pop.’
Korea Utara kemudian bertindak balas dengan menyiarkan propagandanya sendiri. -Reuters